TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ramanan turun padang bantu mangsa banjir di Sungai Buloh

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR, 3 Okt - Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan turun menyantuni mangsa banjir di kawasan sekitar Sungai Buloh bersama Pusat Khidmat Rakyat, hari ini. 

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan Pusat Khidmat Rakyat untuk meninjau keadaan dan menyelaras bantuan bagi penduduk yang terjejas.

Ramanan berkata, inisiatif itu antara lain untuk memastikan kerjasama berkesan antara pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, NGO, dan masyarakat setempat selain menyampaikan bantuan yang diperlukan dengan cepat dan tepat. 

"Saya juga telah turun ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Seri Pagi Paya Jaras untuk menyantuni mangsa dan memberikan bantuan yang diperlukan," katanya. 

Selain membuktikan komitmennya untuk bersama-sama dengan rakyat Sungai Buloh dalam situasi sukar ini, Ramanan berkata  setakat ini, sebuah pusat pemindahan telah dibuka yang menempatkan hampir 90 individu yang dipindahkan dari Kampung Kubu Gajah. "Kita akan memastikan kebajikan mereka dijaga dengan baik. Saya memahami perasaan mereka yang terpaksa meninggalkan kediaman dan harta benda," jelas Ramanan. 

Ramanan juga memberi penekanan kepada keselamatan penduduk dalam situasi banjir ini. "Saya menyeru kepada semua penduduk untuk mengutamakan keselamatan diri dan keluarga. Pastikan anda memantau anak-anak kecil, warga emas, dan Orang Kurang Upaya. Keutamaan kita adalah keselamatan," katanya. 

Tambah beliau, pasukan pusat khidmat akan sentiasa berada di lapangan untuk memberikan bantuan, termasuk penyaluran makanan, keperluan asas, dan sokongan psikososial kepada mereka yang terjejas. 

"Kami komited untuk memastikan semua bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan dan akan terus memantau perkembangan situasi," katanya. 

Dengan semangat kepimpinan dan keprihatinan yang tinggi, Ramanan menunjukkan bahawa dalam waktu-waktu sukar, kerjasama dan solidariti antara semua pihak adalah kunci untuk membantu masyarakat pulih dan bangkit semula. 

"Kami di sini untuk anda, dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan nasib anda terjamin," katanya. - Media Telus

+ - reset