TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PGIRM tuntut KWSP perjelas pelaburan dana pencarum dalam instrumen hutang kerajaan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 3 Nov. – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menuntut penjelasan rasmi dan terperinci daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung pelaburan dana pencarum dalam instrumen hutang kerajaan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir menegaskan bahawa tuntutan berkenaan bukanlah satu tuduhan penyalahgunaan atau kerugian dana, sebaliknya satu langkah menuntut ketelusan dan akauntabiliti terhadap jumlah pelaburan, pulangan, pembayaran kupon, penilaian risiko serta langkah perlindungan simpanan pencarum.

Sehubungan itu, PGIRM telah mengemukakan dua surat rasmi pada 1 November lalu menerusi Setiausaha Sulit Kanan Pejabat Perdana Menteri untuk dipanjangkan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan serta Ketua Pegawai Eksekutif KWSP dengan memohon maklum balas bertulis dalam tempoh 14 hari.

Azmi turut mendedahkan bahawa langkah berkenaan telah dirancang lebih awal sebagai usaha berterusan memperjuangkan hak pencarum dan bukannya dibangkitkan secara tiba-tiba susulan perbahasan isu pelaburan awam di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Beliau menambah bahawa kepercayaan pencarum terhadap KWSP perlu diperkukuh menerusi penerangan agregat yang mudah difahami dan berkala tanpa perlu menjejaskan maklumat sulit atau strategi pelaburan institusi terbabit.

+ - reset