TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis tumpas ‘Geng Botak’, 6 budak lelaki aktif curi motosikal di Melaka

By
|
Kongsi
image

MELAKA 16 Jun – Polis menaham enam budak lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun termasuk dua pelajar anggota 'Geng Botak' disyaki aktif mencuri motosikal di sekitar negeri ini.

Difahamkan geng ini aktif sejak Januari lalu dan terbabit sekurang-kurangnya enam kes mencuri motosikal pelbagai jenis.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md Nazri Zawawi, berkata kumpulan diketuai seorang pelajar Tingkatan 1 dikenali sebagai 'Botak' dilumpuhkan menerusi operasi Op Lejang dijalankan Cawangan D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah), Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan pada 4 hingga 7 Julai lalu dan menahan enam kanak-kanak berumur 13 hingga 17 tahun di beberapa lokasi di sekitar negeri ini di Jalan Semabok dan Taman Bidara Setia, Masjid Tanah.

Siasatan polis mendapati sindiket ini bergiat aktif sejak januari 2024 dan modus operandi mereka adalah menyasarkan motosikal diletakkan di luar rumah tidak berpagar.

"Dengan penahanan semua individu ini, polis percaya sudah berjaya menyelesaikan enam kes kecurian motosikal di sekitar Melaka.

"Menerusi serbuan dan tangkapan yang dilakukan kita turut merampas enam motosikal yang dilaporkan hilang termasuk sebuah motosikal digunakan untuk mencuri motosikal lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Nazri berkata, siasatan polis mendapati motosikal yang dicuri iaitu Yamaha 15ZR, Yamaha 135 LC dan Modenas Kriss juga digunakan untuk kegunaan sendiri dan rakan-rakan sindiket ini.

Polis turut melakukan ujian saringan awal air kencing dan mendapati semua mereka bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah dan dua daripada individu yang ditahan masih bersekolah.

"Semakan rekod yang dijalankan juga mendapati semua mereka tiada sebarang rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan.

"Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh juga didenda, jika disabitkan kesalahan," katanya.

+ - reset