TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

CUEPACS tak setuju SPRM kaitkan rasuah dengan penjawat awam

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 Jun - CUEPACS menolak pandangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kaitan penjawat awam dan rasuah.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata ini kerana beliau melihat pandangan SPRM mengenai perkara itu memberi gambaran negatif bahawa faktor utama kerajaan menaikkan gaji penjawat awam adalah untuk memerangi rasuah.

Beliau berkata, biarpun gaji rendah menjadi antara punca rasuah namun ia bukanlah penyebab utama.

Sebaliknya, faktor dalaman seperti wujudnya peluang, kelemahan peribadi dan tidak berintegriti yang menyebabkan seseorang itu melakukan jenayah terbabit. 

"CUEPACS tidak bersetuju apabila konteks kenaikan gaji penjawat awam itu dilihat daripada sudut tertentu sahaja seperti untuk membendung gejala rasuah. 

"Laporan media setiap hari membuktikan penjenayah rasuah terdiri daripada pelbagai kumpulan masyarakat dan rata-ratanya mempunyai jawatan dan kedudukan tertentu dan tidak hanya terdiri daripada penjawat awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa dengan menaikkan gaji penjawat awam tidak semestinya berkesan dalam membendung penularan rasuah dalam struktur kerajaan.

Pada masa sama, Adnan berkata, pihaknya mencadangkan pihak berkuasa mengubah pendekatan dalam tindakan dengan memberi fokus kepada punca gejala rasuah di peringkat akar umbi iaitu pemberi rasuah.

Beliau berkata, jenayah rasuah tidak akan dapat dibanteras sepenuhnya jika agensi penguatkuasaan tidak menumpaskan sumber atau akar umbi kepada punca gejala terbabit.

"Amat mengecewakan apabila pemberi rasuah tidak didakwa malah dijadikan saksi untuk mendakwa penerima. Ketika ini kita banyak didedahkan dengan tangkapan individu yang menerima rasuah sahaja hingga ramai yang mempersoalkan ke mana hilangnya pemberi rasuah. 

"Pemberi rasuah ini akan mencari pelbagai jalan untuk mencari mangsa mereka bagi mendapatkan keuntungan daripada transaksi yang dilakukan. 

"Jika kita putuskan rantaian pemangsa ini sudah tentu rasuah dapat ditangani dengan lebih berkesan dan masyarakat akan lebih takut untuk terbabit dalam salah laku itu," katanya.

Beliau berkata, tindakan segelintir penjawat awam terbabit dalam gejala rasuah tidak mencerminkan keseluruhan integriti dan akauntabiliti penjawat awam negara. 

Katanya, pembabitan dalam rasuah dan salah laku adalah tindakan sebilangan kecil penjawat awam yang tidak mewakili 1.7 juta warga penjawat awam. 

"Kita mengakui SPRM sudah berusaha dengan sebaiknya dalam menguatkuasakan undang-undang dan CUEPACS bersama penjawat awam sedia bersama-sama dengan SPRM dalam memastikan usaha tersebut terus dipergiatkan. 

"Namun CUEPACS menyeru semua pihak termasuk masyarakat awam memberi sokongan kepada perkhidmatan awam," katanya.

Adnan berkata, pihaknya percaya keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam baru-baru ini adalah usaha untuk merapatkan jurang pendapatan dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini dan bukannya hanya disebabkan faktor rasuah.

Katanya, ia juga adalah usaha kerajaan untuk mengimbangi pendapatan antara pekerja gred rendah dan tinggi yang terlalu besar jurangnya serta tidak mencerminkan situasi sebenar pendapatan purata isi rumah di peringkat nasional. 

"Kenaikan gaji yang bakal dinikmati penjawat awam ini perlu bergerak seiring dengan kualiti kerja yang lebih baik bagi memastikan impak kepada kenaikan itu dapat membantu perkembangan ekonomi. 

"Hal ini termasuklah dengan melaksanakan kerja dengan penuh tanggungjawab dan mengelakkan perkara yang melanggar tadbir urus dan penyelewengan," katanya.

 

#CUEPACS #RASUAH #SPRM

+ - reset