TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Rumah Khuzaimi Piee dipecah masuk, Selangor FC minta penyokong jangan buat spekulasi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 Mei - Selangor FC menyatakan rasa kecewa dan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk jenayah yang berlaku susulan insiden pemain pertahanannya, Ahmad Khuzaimi Piee dipecah masuk, kelmarin.

Kelab itu dalam kenyataan turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Ahmad Khuzaimi dan keluarga ekoran kejadian tersebut.

Pada masa sama, Selangor FC turut berharap pelaku kes itu dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Bagaimanapun, kelab yang terkenal dengan jolokan Gergasi Merah itu menyarankan orang ramai tidak membuat andaian dan sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.

“Insiden ini telah menyebabkan Khuzaimi mengalami kerugian harta benda namun beliau dan keluarga selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

“Berikutan insiden tersebut, laporan polis telah dibuat dan pihak kelab menyarankan agar orang ramai untuk tidak membuat andaian dan sebarang spekulasi serta menyerahkan kes ini sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian rumah Ahmad Khuzaimi yang dipecah masuk.

Siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan kenderaan pelbagai guna berwarna putih dan melarikan sebuah motosikal Yamaha Y15R seperti yang ditularkan.

Pemeriksaan lanjut mendapati suspek melarikan empat buah beg berjenama dan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM15,000.

Polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

#SELANGOR #KHUZAIMIPIEE #BOLASEPAK

+ - reset