TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Kos terlalu tinggi, Malaysia tarik diri anjur Formula E

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 19 Mei - Malaysia menarik diri menjadi tuan rumah penganjuran Grand Final Formula E-Prix susulan permintaan kewangan awal mengejutkan daripada pemilik kejuaraan dunia bagi perlumbaan kereta elektrik itu.

Pergeseran antara Formula E dan rakan tempatan, Sports Tech Holdings, mencetuskan peningkatan mendadak bayaran hak, selain kenaikan luar jangka dalam caj komersial.\

Formula E membuat penawaran kurang menyenangkan selepas Sports Tech membuat keputusan memindahkan venue dari Litar KL City ke Litar Antarabangsan Sepang (SIC).

Formula E mahu penganjuran diadakan di Kuala Lumpur, namun Sports Tech memilih SIC mengambil kira cabaran teknikal di litar jalanan dalam bandar raya itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sports Tech Wan Agyl Wan Hassan berkata: “Bayaran perlumbaan baharu melangkaui kapasiti kewangan kami, dan kami tidak mahu memberi beban kewangan kepada kerajaan.”

Wan Agyl berkata, kos penganjuran terlalu tinggi sedangkan potensi pulangan pula terhad. “Jika tiada nilai ekonomi, kenapa perlu kami teruskan?”

Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan nilai diminta Formula E sebagai menghormati perjanjian antara dua pihak.

Penarikan penganjuran itu memberi tamparan hebat kepada Sports Tech yang telah berada pada peringkat lanjutan dalam perancangan membawa semula E-Prix ke Malaysia selepas sedekad.

Wan Agyl berkata, struktur kewangan antara dua pihak menemui jalan buntu selepas rancangan penganjuran menerima lampu hijau daripada pihak berkuasa Malaysia, kira-kira sebulan lalu.

ADVERTISING

 

Awal tahun ini, Sports Tech berjaya memperoleh hak bersyarat daripada Formula E bagi menguruskan perlumbaan terakhir sehingga 2030, dengan sasaran mengubah persepsi kereta elektrik dan mempercepat penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Diunjurkan, penganjuran grand final tahun depan mampu menyuntik RM157.5 juta kepada ekonomi tempatan menerusi perbelanjaan pengunjung selain mewujudkan lebih 10,000 peluang kerja.

Ia juga diramal mampu menyumbang RM6.73 bilion kepada ekonomi negara dalam tempoh sedekad mendatang.

Impian awal, fokus baharu

Wan Agyl berkata, cita-cita awal adalah memperkenal Formula E kepada Malaysia sebagai obor teknologi mampan dan sukan permotoran termaju, “mencerminkan dedikasi kami terhadap tanggungjawab dan inovasi alam sekitar.”

“Fokus kami kini beralih kepada penganjuran sukan berpotensi lain yang sejajar dengan landskap ekonomi Malaysia dan kepentingan awam.

“Kami berhasrat memupuk pertumbuhan mampan dalam sukan, dengan tumpuan pada acara boleh disepadukan secara lebih semula jadi dalam fabrik komuniti dan ekonomi kami,” katanya.

+ - reset