TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Kemenangan BN di Ayer Kuning tanda sokongan rakyat kepada Kerajaan MADANI

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 26 April - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai manifestasi jelas sokongan rakyat kepada Kerajaan MADANI.

Menurut Ahmad Zahid, kemenangan ini membuktikan bahawa rakyat semakin bijak menilai dengan menolak politik kebencian serta memilih kestabilan, kemajuan, dan kepimpinan yang berwibawa. Beliau berkata, kejayaan itu juga memberi isyarat kukuh bahawa Kerajaan Perpaduan diterima rakyat kerana mampu mengurus tadbir negeri dan negara dengan baik berasaskan prinsip perpaduan, pembangunan, dan kesejahteraan rakyat.

Katanya lagi, kemenangan ini tidak akan tercapai tanpa kecekalan dan semangat juang seluruh jentera BN dan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam kenyataannya, Ahmad Zahid turut meluahkan rasa syukur atas kemenangan itu yang disifatkan sebagai kesinambungan legasi kecemerlangan Allahyarham Ishsam Shahruddin, bekas penyandang kerusi DUN Ayer Kuning. Beliau mendedahkan bahawa daripada 11 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang sebelum ini tewas kepada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, 10 daripadanya kini kembali ke pangkuan BN.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi di Ayer Kuning yang telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab demokrasi mereka.

BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila calon mereka, Dr Mohamad Yusri Bakir, meraih 11,065 undi menewaskan calon Perikatan Nasional, Abd Muhaimin Malek yang mendapat 6,059 undi, serta calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS yang memperoleh 1,106 undi, dengan majoriti 5,006 undi.

Ahmad Zahid turut berpesan kepada Dr Mohamad Yusri agar menggalas amanah besar yang diberikan dengan penuh keikhlasan, sikap rendah hati, dan komitmen tinggi untuk terus memajukan Ayer Kuning. - Media Telus

+ - reset