TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

30 gelanggang sukan diroboh, KBS tanggung kerugian RM12.4 Juta

By
|
Kongsi
image

MELAKA 26 April – Sebanyak 30 gelanggang sukan di seluruh negara telah dilupuskan dan dirobohkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 2021, melibatkan kerugian keseluruhan kira-kira RM12.4 juta.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, daripada jumlah itu, 20 gelanggang dirobohkan di Semenanjung Malaysia membabitkan kerugian RM11 juta, manakala 10 gelanggang lagi di Sabah dan Sarawak melibatkan kerugian RM1.4 juta. Kebanyakan gelanggang tersebut merupakan gelanggang futsal 1Malaysia yang dibina di atas tanah negeri, rizab kerajaan negeri, tanah swasta, sekolah serta tanah FELDA.

Menurut Adam Adli, kegagalan mendaftarkan gelanggang itu sebagai aset KBS menyukarkan kerja penyelenggaraan dan pemantauan, menyebabkan banyak gelanggang terbiar tanpa pengurusan. Keadaan itu akhirnya memaksa kementerian melaksanakan pelupusan bagi gelanggang yang tidak lagi selamat digunakan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kompleks Sukan Pulse Play Ayer Keroh di Melaka hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan Pulse Play, Azahari Muhammad Rejab.

Setakat ini, KBS telah merekodkan 1,943 gelanggang futsal di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,425 gelanggang telah diserahkan kepada pemilik tanah tanpa sebarang pembaikan, 384 gelanggang diserahkan dengan kos pembaikan tertentu, manakala baki 30 gelanggang telah dirobohkan.

Adam Adli menegaskan bahawa komitmen tinggi diperlukan dalam menyelenggara pusat sukan kerana kos yang terlibat sangat besar dan berterusan. Beliau menyeru agar satu strategi sistematik digarap bersama pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat untuk memastikan pusat-pusat sukan kekal berfungsi dan tidak terbiar.

Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa pembukaan pusat sukan moden seperti Pulse Play Ayer Keroh mampu merancakkan ekonomi tempatan menerusi sektor pelancongan sukan. Kompleks ini menawarkan pelbagai kemudahan terkini termasuk padang bola sepak tujuh sebelah, gelanggang pickleball dan gelanggang padel, dua sukan yang kini semakin popular dalam kalangan masyarakat. - Media Telus

+ - reset