TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hukuman penjara ibu curi makanan dikurangkan dari dua bulan ke enam hari

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 25 April - Seorang ibu dari Sarawak yang dipenjara selama dua bulan kerana mencuri barang runcit dan makanan bernilai RM374.69 di sebuah pasar raya, diberi kelegaan apabila Mahkamah Tinggi hari ini mengurangkan hukumannya kepada enam hari penjara.

Hakim K Muniandy memutuskan bahawa hukuman asal yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret adalah terlalu berat memandangkan situasi tertuduh yang terdesak ketika kejadian.

“Tertuduh terdesak ketika melakukan kesalahan itu,” katanya selepas dimaklumkan bahawa Lini Ahmat sedang menunggu peluang pekerjaan sebagai tukang masak di medan selera dan tidak mempunyai wang untuk menyara hidup.

Semakan terhadap hukuman tersebut dibuat selepas Mahkamah Tinggi mendengar rayuan berkenaan keputusan yang dibuat oleh mahkamah rendah pada Selasa lalu.

Lini mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri 30 jenis barang dari sebuah pasar raya pada 19 April. Antara barangan yang dicuri termasuk roti, telur, biskut, susu soya, ubat gigi, produk penjagaan diri, tisu dan lain-lain barangan asas.

Hakim turut mengambil kira bahawa Lini telah ditangkap pada hari kejadian dan telah ditahan reman selama hampir seminggu.

“Tertuduh dengan itu dibebaskan hari ini,” kata Muniandy.

Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah juga bersetuju bahawa hukuman dua bulan penjara terlalu berat, memandangkan lazimnya pesalah kes sebegini hanya didenda atau dijatuhi hukuman penjara selama tujuh hari.

Peguam Lini, Collin Arvind Andrew, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya menyesali perbuatannya dan berharap diberikan kelegaan hukuman agar dia dapat meneruskan kehidupan.

Lini juga memaklumkan bahawa dia berada di Kuala Lumpur untuk mencari kerja dan merancang membawa anak-anaknya bersama selepas mendapat pekerjaan yang tetap. - Media Telus

+ - reset