TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rayuan kuota haji Malaysia cecah 85,000, kerajaan harap tambahan 10,000 tempat

By
|
Kongsi
image

 

ALOR SETAR 25 April - Lembaga Tabung Haji (TH) menerima lebih 85,000 rayuan daripada bakal jemaah yang berharap dapat menunaikan ibadah haji tahun ini, jumlah yang hampir tiga kali ganda daripada kuota rasmi sebanyak 31,600 jemaah yang diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Kerajaan Malaysia telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Arab Saudi bulan lalu bagi memohon tambahan 10,000 kuota haji.

“Saya juga telah menghantar mesej kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Fawzan Al-Rabiah, bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai rayuan tersebut. Kita sangat berharap permintaan itu akan dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 100 keluarga kurang berkemampuan di Kuala Sungai, di sini, semalam.

Program sumbangan itu dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) Cawangan Kedah dengan kerjasama Yayasan Taqwa, di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Mohd Na’im turut menjelaskan bahawa rayuan yang diterima akan disaring dan dipertimbang, termasuk untuk mengisi kekosongan daripada pendeposit yang menolak tawaran haji atas faktor kesihatan atau sebab-sebab lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman sebelum ini memaklumkan bahawa penerbangan pertama jemaah haji dijadualkan berlepas pada 28 April ini, manakala penerbangan terakhir ialah pada 30 Mei. - Media Telus

+ - reset