Berita Berita
Tun M tuntut Zahid Hamidi mohon maaf berhubung isu aset UMNO

KUALA LUMPUR 25 April - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar notis tuntutan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu pemilikan hartanah milik parti itu.
Menurut peguam Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali, kenyataan yang dirujuk berlaku pada 11 April lalu dan dikatakan mencemarkan nama baik serta integriti anak guamnya. Ia berkaitan dakwaan kononnya Dr Mahathir enggan melepaskan pegangan amanah terhadap aset UMNO, yang dikatakan menghalang pemindahan hak milik kepada parti itu.
Dalam notis tuntutan tersebut, Dr Mahathir menegaskan kenyataan Ahmad Zahid itu adalah tidak benar dan merupakan satu penipuan. Beliau turut menuntut permohonan maaf dibuat secara terbuka dan tanpa syarat melalui sidang media rasmi di Ibu Pejabat UMNO dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, dengan kehadiran wakil media arus perdana dan media sosial.
Selain itu, permohonan maaf itu juga diminta disiarkan dalam akhbar serta semua platform media sosial rasmi Ahmad Zahid dan perlu dikekalkan selama 30 hari berturut-turut. Dr Mahathir turut menggesa satu akujanji dibuat agar tiada lagi kenyataan atau penerbitan yang menyentuh reputasi beliau dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkaitan.
Sekiranya tuntutan ini tidak dipenuhi dalam tempoh tujuh hari, Dr Mahathir berhak mengambil tindakan undang-undang selanjutnya yang difikirkan sesuai.
Ahmad Zahid sebelum ini menafikan beliau secara spesifik menyebut nama Dr Mahathir ketika ditanya wartawan mengenai status pemindahan aset UMNO. Beliau berkata kenyataan itu bersifat umum dan tidak menyebut individu secara langsung.
UMNO kini dalam proses mengambil semula tanah seluas 9,723 meter persegi yang didaftarkan atas nama pemegang amanah terdahulu, termasuk Dr Mahathir, Allahyarham Tun Musa Hitam, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid. - Media Telus
Berita berkaitan
April 25, 2025, 7:08 pm
Hukuman penjara ibu curi makanan dikurangkan dari dua bulan ke enam hari
April 25, 2025, 7:02 pm
Rayuan kuota haji Malaysia cecah 85,000, kerajaan harap tambahan 10,000 tempat
April 25, 2025, 6:56 pm
Bayi ditinggal dalam beg atas tangga rumah
April 25, 2025, 6:36 pm
Anwar mahu sekolah mulakan penguasaan AI sejak awal
April 25, 2025, 5:45 pm
Anggota polis putus telinga digigit lelaki warga Afrika
April 25, 2025, 5:34 pm
Suspek tikam peminta sedekah mempunyai kad OKU lembam
April 25, 2025, 4:33 pm
Kisah pelajar yatim cemerlang SPM tapi tak dapat hadir ambil keputusan dapat perhatian MARA
April 25, 2025, 4:24 pm
Dua lelaki didenda kerana cetus kekecohan ketika Pesta Songkran di Damansara
April 25, 2025, 11:18 am