TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anggota polis putus telinga digigit lelaki warga Afrika

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 April – Seorang anggota polis berpangkat koperal berdepan detik ngeri apabila telinga kirinya putus selepas digigit seorang lelaki warga Afrika dalam kejadian di sebuah klinik swasta di Metro Prima, pada Jumaat.

Kejadian berlaku sekitar jam 10.30 pagi apabila anggota terbabit bersama rakan setugas dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan mengenai seorang pesakit warga asing yang bertindak agresif di premis berkenaan.

Menurut sumber seperti yang dilaporkan Sinar Harian, suspek pada awalnya kelihatan tenang dan memberi kerjasama. Namun, situasi berubah apabila suspek secara tiba-tiba menyerang anggota polis tersebut ketika hendak dimasukkan ke dalam kenderaan peronda (MPV).

“Suspek berpaling dan menggigit telinga kiri anggota polis itu sehingga putus, menyebabkan mangsa mengalami pendarahan teruk,” kata sumber berkenaan.

Anggota polis yang berusia dalam lingkungan 30-an itu segera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kini dalam keadaan stabil. Beliau dijadualkan menjalani pembedahan untuk menyambung semula bahagian telinga yang terputus.

Siasatan awal mendapati suspek berusia 38 tahun dan merupakan seorang pelajar kolej swasta di ibu negara. Dia kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zopal mengesahkan kejadian dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah. - Media Telus

+ - reset