TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

PRK Ayer Kuning: BERSIH kecam kerajaan salah guna jentera, dana awam

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 April – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengecam dakwaan salah laku pilihan raya yang dilakukan oleh kerajaan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang sedang berlangsung.

Dalam satu kenyataan semalam, Jawatankuasa Pemandu Bersih menyatakan bahawa insiden itu melibatkan pengumuman bersyarat oleh Kerajaan Persekutuan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 12 April lalu.

Menurut kenyataan tersebut, Ahmad Zahid ketika itu memberi jaminan bahawa projek pembangunan di Ayer Kuning akan diteruskan sekiranya calon Barisan Nasional (BN) memenangi PRK berkenaan.

“Pengumuman bersyarat sebegini merupakan satu bentuk penyalahgunaan sumber kerajaan untuk mempengaruhi undi secara tidak wajar oleh pihak Kerajaan Persekutuan.

“Taktik ini adalah taktik kotor yang sepatutnya tidak diulangi oleh Kerajaan Madani yang katanya mengangkat slogan keadilan,” katanya.

Bersih turut mempersoalkan satu lagi insiden salah laku yang melibatkan pemberian duit raya dalam tempoh berkempen, semasa sebuah program ramah mesra anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Tapah, yang turut dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut kenyataan itu, walaupun pemberian tersebut dilakukan melalui agensi kerajaan, tindakan itu semasa tempoh kempen dan di kawasan PRK boleh ditafsir sebagai cubaan mempengaruhi pengundi, yang berpotensi menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kerajaan Persekutuan perlu mengambil ibrah daripada petisyen pilihan raya yang menyebabkan PRK Kuala Terengganu dan Kemaman sebelum ini,” katanya.

Bersih juga membangkitkan isu penggunaan jentera kerajaan bagi tujuan berkempen, termasuk penglibatan Menteri Besar Perak dalam program rasmi kerajaan seperti “Town Hall Bersama Anak Muda” di Kompleks Sukan Tapah yang diadakan bersama calon PRK.

Mereka menyatakan bahawa tindakan itu melanggar prinsip asas pemisahan antara kerajaan dan parti serta menyalahgunakan kelebihan jawatan untuk memberi kelebihan tidak adil kepada calon tertentu.

“Bersih mempersoalkan tempat dan masa program ini dijalankan kerana Kerajaan Negeri Perak sudah tentu sedia maklum bahawa majlis tersebut adalah ketika tempoh berkempen,” katanya.

Sehubungan itu, Bersih menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan garis panduan yang jelas kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, serta semua pihak terlibat supaya kempen pilihan raya berlangsung dengan adil dan bersih.

Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut digesa untuk menjalankan siasatan berhubung kemungkinan wujudnya unsur rasuah politik dalam pemberian dan pengumuman yang dibuat sepanjang tempoh kempen.

“Kerajaan, sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan, harus menunjukkan komitmen terhadap prinsip pemisahan kuasa antara parti dan pentadbiran dengan tidak memperalatkan agensi atau dana awam demi kepentingan pilihan raya,” katanya.

Bersih turut menegaskan bahawa sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa ketika pilihan raya bukan sahaja mencemarkan demokrasi, malah boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya negara.

Sehubungan itu, semua pihak digesa untuk memastikan PRK DUN Ayer Kuning dijalankan dengan adil, telus dan bersih.

+ - reset