TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

"Pengakhiran di Paris masih mengganggu saya" — Azizulhasni tinggalkan skuad kebangsaan, bergerak secara profesional

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 April - "Pengakhiran di Paris tidak seperti yang saya harapkan,"

Itulah luahan Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang akhirnya memilih untuk meneruskan karier sebagai pelumba berbasikal trek profesional selepas kegagalan di Sukan Olimpik Paris 2024.

Azizulhasni, 37, menjelaskan bahawa keputusan itu bukan sekadar soal karier, sebaliknya berkait dengan kepuasan peribadi sebagai seorang atlet yang mahu menamatkan perjuangannya dengan cara terhormat.

"Pengakhiran di Paris masih mengganggu saya. Ia bukan cara yang saya mahu akhiri karier ini. Saya bina semua ini dengan susah payah, dengan penuh dedikasi. Jadi saya perlu cuba lagi, saya mahu satu penutup yang manis.  

Saya teruskan untuk dua tahun sahaja dulu, sebab saya rasa masih ada sesuatu yang belum selesai dalam diri saya. Harapnya ada manisnya dan dapat mengucapkan selamat tinggal dengan cara yang baik," katanya dalam sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam menurut laporan Berita Harian  

Pada temasya di Paris tahun lalu, penyertaannya dalam acara keirin dibatalkan akibat kesalahan teknikal, manakala dalam acara pecut pula dia gagal mara selepas terkandas di repechage.

Susulan kegagalan itu, Azizulhasni pernah memberi bayangan hasrat untuk bersara selepas lebih dua dekad bersama skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, teka-teki mengenai masa depannya akhirnya terjawab apabila beliau mengumumkan akan meneruskan karier secara profesional dan tidak lagi bersama pasukan kebangsaan.

Azizulhasni menjelaskan keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, supaya peruntukan yang ada dapat diberi keutamaan kepada pelumba muda yang sedang meningkat naik.

*"Saya buat keputusan untuk kembali aktif dalam sukan berbasikal secara kompetitif, namun perjalanan kali ini sedikit berbeza kerana saya tidak lagi bersama pasukan kebangsaan.

Saya memilih untuk bergerak secara profesional dan berdikari. Dalam pertemuan bersama MSN dan Institut Sukan Negara (ISN), saya minta supaya tumpuan dan peruntukan diberikan sepenuhnya kepada atlet lain demi kesinambungan sukan ini,"* katanya.

Sementara itu, Hannah mengumumkan pemberian geran khas berjumlah RM200,000 kepada Azizulhasni bagi menyokong pelumba berpengalaman itu meneruskan karier profesional bagi tahun 2025 hingga 2026.

Menurut Hannah, pemberian geran individu itu bertujuan membantu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin itu, meliputi pengurusan jurulatih, latihan, kejohanan, peralatan pertandingan, perubatan serta sains sukan.

Selain itu, pihak kementerian turut menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada pelumba berusia 37 tahun itu untuk layak ke Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun, tahun depan.

+ - reset