Berita Berita
Pengetua sekolah di Kulai letak jawatan kes pelajar sunting, jual gambar lucah

KULAI 19 April - Pengetua sebuah sekolah menengah yang dikaitkan dengan kes foto lucah palsu wanita yang menyaksikan dua pelajar ditahan, telah meletakkan jawatan susulan isu berkenaan.
Menurut maklumat, surat peletakan jawatan berkenaan telah diserahkan pada 12 April lalu dan diterima oleh pihak Lembaga Pengarah sekolah dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.
Namun begitu, pihak lembaga pengarah tidak mendedahkan alasan sebenar peletakan jawatan itu, sebaliknya memaklumkan bahawa keputusan dibuat mengikut ‘kehendak peribadi’.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi sekolah, pihak lembaga memaklumkan bahawa selepas perbincangan terperinci, barisan pengarah sebulat suara bersetuju untuk menghormati peletakan jawatan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, ketika dihubungi memaklumkan beliau masih belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung perkara itu.
Sekolah tinggi terbabit merupakan sekolah menengah aliran Cina bebas terbesar di negara ini. Ia ditubuhkan pada tahun 1913 di Johor Bahru dan kini mempunyai tiga kampus iaitu di Stulang Laut, Kulai dan Masai.
Skandal itu mula tercetus pada awal bulan ini apabila beberapa pelajar perempuan termasuk bekas pelajar mendakwa seorang pelajar lelaki telah menyunting gambar mereka secara digital menjadi imej lucah.
Kesemua imej terbabit dipercayai telah diedarkan melalui sebuah kumpulan sembang untuk tujuan keuntungan.
Mangsa yang terlibat mendakwa pihak sekolah pada peringkat awal hanya mengambil tindakan ringan terhadap pelaku, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati serta kebimbangan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa.
Setakat ini, polis telah menahan dua suspek berkaitan kes itu membabitkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai dalang utama, serta seorang rakan subahat berusia 19 tahun.
Pihak lembaga sekolah pada 10 April lalu turut mengesahkan bahawa pelajar yang bertanggungjawab telah dibuang sekolah. Dalam masa sama, Lembaga Pengarah mengakui kelemahan dalam tindakan awal dan berikrar untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat.
Berita berkaitan
April 20, 2025, 9:30 am
Pengawal keselamatan tembak lelaki amuk di restoran di Kuala Langat
April 20, 2025, 9:03 am
Penuntut UUM temui ajal dihimpit bas kemalangan dalam kampus di UUM
April 19, 2025, 2:41 pm
Tangan lelaki tersangkut lubang tandas ketika mahu ambil gigi palsu terjatuh
April 19, 2025, 2:02 pm
Masih ada yang tak faham, Johari adakan sidang media jelas isu Kampung Sungai Baru minggu depan
April 19, 2025, 10:46 am
Pemandu rentung, kereta terbabas langgar pembahagi jalan di Pendang
April 19, 2025, 9:25 am
Pendakwaan kes Zayn Rayyan dijangka tutup kes minggu hadapan
April 18, 2025, 7:02 pm
Laporan awal insiden Putra Heights hampir siap, paip meletup sudah ditemui - Polis
April 18, 2025, 3:12 pm
'Kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang bukan perkara ringan' - Anwar
April 18, 2025, 1:12 pm