TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pendakwaan kes Zayn Rayyan dijangka tutup kes minggu hadapan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 April – Perbicaraan kes membabitkan pasangan suami isteri yang didakwa mengabaikan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, dijangka memasuki fasa penutup minggu hadapan apabila pihak pendakwaan hampir melengkapkan keseluruhan keterangan saksi.

Setakat ini, seramai 26 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Sesyen, termasuk dua kanak-kanak yang merupakan antara individu terakhir melihat mangsa dalam keadaan masih hidup.

Menurut perkembangan terbaharu, hanya seorang lagi saksi pendakwaan yang belum dipanggil iaitu pegawai penyiasat kanan kes tersebut, Asisten Superintendan Mohd. Hafizee Ismail.

Kehadirannya bakal melengkapkan keterangan pihak pendakwaan sebelum kes diputuskan untuk diteruskan dengan pembelaan atau sebaliknya.

Sepanjang prosiding, mahkamah turut mendedahkan beberapa bukti penting termasuk perbualan aplikasi WhatsApp antara dua individu dikenali sebagai Baby Sayang dan Manja sebelum serta selepas kehilangan Zayn Rayyan.

Antara kandungan mesej tersebut termasuk ayat: “Stresnya sampai rasa nak bunuh orang je.” “Hang belasah je la sampai puas.” dan “Lantaklah nak hidup ke nak mati.”

Perbicaraan bermula pada 3 Februari lalu dengan saksi pertama, Detektif Koperal Mohamad Hirwan Ariffin, seorang jurugambar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang mengemukakan sebanyak 142 keping gambar berkaitan mayat mangsa di lokasi kejadian.

Pada hari yang sama, pasangan tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengemukakan bantahan awal untuk membatalkan pertuduhan atas alasan ia tidak memperincikan kesalahan dilakukan, namun ditolak Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh.

Pasangan itu sekali lagi gagal dalam permohonan sama di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Mac lalu sebelum pihak pendakwaan meminda pertuduhan pada 13 Mac dengan memperincikan lokasi kejadian yang sebelum ini tidak dinyatakan dalam pertuduhan asal.

Mengikut pertuduhan pindaan, kedua-duanya didakwa bersama-sama sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap mangsa telah mengabaikan Zayn Rayyan hingga menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai dan kawasan sungai berdekatan antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga jam 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Kes berkenaan dikendalikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan asal sebelum ini tidak menyatakan lokasi terperinci iaitu kawasan Blok R, Apartment Idaman dan kawasan sungai berdekatan, sebelum dipinda pada Mac lalu.

+ - reset