Berita Politik
PRK Ayer Kuning: DAP usaha rapatkan hubungan dengan pengundi Melayu

TAPAH 18 April - Tindakan DAP turun membantu jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bukan semata-mata soal sokongan politik, sebaliknya mencerminkan usaha memperkukuh kerjasama antara parti komponen Kerajaan Perpaduan serta mencabar persepsi negatif terhadap parti itu.
Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan berkata, sokongan terhadap calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir adalah selaras komitmen Pakatan Harapan (PH) yang berpegang kepada prinsip membantu gabungan itu dalam menghadapi PRK berkenaan, yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
"Antara cabaran dihadapi mana-mana PRK ialah peratusan keluar mengundi yang mungkin tidak setinggi ketika Pilihan Raya Umum (PRU).
"PRK biasanya kurang meriah seperti PRU. Jadi tumpuan kami untuk meyakinkan pengundi luar supaya kembali menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 26 April ini.
"Tugas ini penting terutama apabila ramai yang baru sahaja pulang ke kampung halaman ketika sambutan Aidilfitri, baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Mengulas lanjut, Syahredzan berkata, selain membantu kempen BN, tumpuan utama adalah menyampaikan kepada pengundi tentang rekod pencapaian Kerajaan Negeri Perak di bawah pentadbiran sedia ada, yang menurutnya telah diterima baik rakyat.
"Antara kaedah meyakinkan pengundi adalah dengan mempamerkan prestasi kerajaan Perak itu sendiri, yang pada pandangan saya, ia diterima baik oleh rakyat.
"Bagi memastikan kelangsungan, terutama peninggalan Allahyarham Ishsam, pengundi perlu faham perkhidmatan sedemikian hanya dapat diteruskan jika tiada gangguan.
"Kelangsungan perkhidmatan berkenaan tidak akan tercapai jika rakyat mengundi calon selain daripada Mohamad Yusri," katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, penyertaan DAP dalam membantu jentera BN di PRK ini turut bertujuan menepis persepsi lapuk mengenai hubungan parti itu dengan masyarakat Melayu.
"Bak kata pepatah, 'tak kenal maka tak cinta'. Kami harap lebih ramai akan mengenali pemimpin Melayu dalam DAP apabila turun padang membantu kempen BN pada PRK DUN Ayer Kuning ini.
"DAP juga ada menampilkan wakil daripada masyarakat Melayu di Perak, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari serta ahli majlis kerajaan tempatan," katanya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 24 Mac lalu akibat komplikasi jantung.
Berita berkaitan
April 16, 2025, 11:50 am
UMNO sanggah tuduhan PN, tegaskan kerjasama Dengan DAP demi titah Agong
April 16, 2025, 9:45 am
PRK Ayer Kuning: Jangan guna modal fitnah nak menang pilihan raya - Mat Sabu
April 14, 2025, 12:21 pm
Aminuddin Harun kekal Ketua Cabang PKR Port Dickson
April 13, 2025, 3:26 pm
Rafizi, Amirudin kekal Ketua Cabang PKR di kawasan masing-masing
April 11, 2025, 1:05 pm
Ahli PKR tegur mufti, minta jangan politikkan isu penguatkuasaan
April 10, 2025, 1:15 pm
MP Bukit Bendera kecam permintaan PAS Pulau Pinang batalkan sambutan Songkran hujung minggu ini
April 9, 2025, 8:07 am
PN umum calon anak jati rebut kerusi di PRK DUN Ayer Kuning
April 8, 2025, 10:38 am
Amanah siap sedia bantu calon Kerajaan Perpaduan menang di PRK Ayer Kuning
April 7, 2025, 5:00 pm