Berita Berita
Pencerobohan tanah haram musuh utama negeri - Sultan Pahang

KUANTAN 18 April - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa pencerobohan tanah haram kini menjadi ancaman utama di negeri ini, mengatasi isu dadah dan jenayah yang selama ini sering mendapat perhatian.
Baginda bertitah bahawa lebih 14,494 hektar tanah kerajaan telah diceroboh dan diusahakan secara haram dengan pelbagai jenis tanaman seperti kelapa sawit, getah, durian dan hasil pertanian lain. Lebih menyedihkan, sebanyak 5,997 hektar Hutan Simpan Kekal turut menjadi mangsa pencerobohan, kononnya atas nama pertanian, tetapi hakikatnya merupakan satu bentuk rompakan terbuka terhadap harta negeri.
Titah baginda, masalah pencerobohan tanah ini bukan isu baharu malah telah berakar umbi sejak lebih empat dekad lalu, namun ia berlaku tanpa pengetahuan baginda. Baginda tidak berhasrat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak pada masa lalu, sebaliknya menyeru agar semua pihak berganding bahu menoktahkan kemelut ini dan menjadikannya satu pengajaran.
Al-Sultan Abdullah menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas kerajaan negeri bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang mula mengambil langkah proaktif di lapangan termasuk menjalankan operasi tangkapan, pemotongan pokok yang ditanam secara haram serta penutupan lombong haram.
Baginda menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan meluluskan sebarang permohonan baharu berkaitan tanah yang telah diceroboh secara haram. Titah baginda, ini adalah prinsip penting yang tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta memastikan amanah terhadap rakyat dan negeri terus dipelihara.
Al-Sultan Abdullah turut melahirkan kekecewaan terhadap segelintir pihak termasuk individu yang seharusnya menjadi contoh kepada rakyat tetapi sebaliknya memilih untuk menyokong perbuatan tidak bertamadun. Baginda menyifatkan tindakan ini bukan sahaja mencemar nama institusi, malah berpotensi menggugat kedaulatan pentadbiran negeri.
Baginda turut mengingatkan para pemimpin politik agar tidak membiarkan kepentingan sempit mempengaruhi keputusan hingga mengangkat perbuatan yang salah sebagai satu perjuangan. Baginda menyeru agar pentadbir tanah di semua peringkat bertindak sebagai benteng kepada undang-undang, bukan menjadi boneka kepada pihak berkepentingan.
Titah baginda lagi, undang-undang tidak boleh dipilih-pilih untuk dikecualikan berdasarkan siapa yang paling lantang bersuara atau paling berani memberi tekanan. Segala keputusan harus berlandaskan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang yang saksama.
Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - Media Telus
Berita berkaitan
April 19, 2025, 2:41 pm
Tangan lelaki tersangkut lubang tandas ketika mahu ambil gigi palsu terjatuh
April 19, 2025, 2:02 pm
Masih ada yang tak faham, Johari adakan sidang media jelas isu Kampung Sungai Baru minggu depan
April 19, 2025, 11:36 am
Pengetua sekolah di Kulai letak jawatan kes pelajar sunting, jual gambar lucah
April 19, 2025, 10:46 am
Pemandu rentung, kereta terbabas langgar pembahagi jalan di Pendang
April 19, 2025, 9:25 am
Pendakwaan kes Zayn Rayyan dijangka tutup kes minggu hadapan
April 18, 2025, 7:02 pm
Laporan awal insiden Putra Heights hampir siap, paip meletup sudah ditemui - Polis
April 18, 2025, 3:12 pm
'Kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang bukan perkara ringan' - Anwar
April 18, 2025, 1:12 pm
Akmal Saleh tegas bantah dakwaan pemilihan PKR terpengaruh budaya UMNO
April 18, 2025, 1:09 pm
Remaja 15 tahun maut terkena renjatan elektrik ketika memanah ikan di sungai
April 18, 2025, 1:00 pm