TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar KV Port Dickson maut, lima cedera dalam kemalangan motosikal

By
|
Kongsi
image

PORT DICKSON 18 April - Seorang pelajar Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) maut manakala lima lagi rakan mengalami kecederaan selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung sesama sendiri dalam kejadian di Kilometer 28.3 Lebuhraya Seremban–Port Dickson awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 3.15 pagi membabitkan enam penunggang motosikal berusia antara 17 hingga 20 tahun, lima daripadanya adalah pelajar kolej terbabit.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila salah sebuah motosikal telah melanggar motosikal lain di hadapannya menyebabkan penunggangnya terjatuh.

“Akibat kejadian itu, lima penunggang lain yang berada di belakang gagal mengelak lalu melanggar antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Seorang daripada mereka, Muhammad Aqif Heyqal Aliff, 18, pelajar tahun akhir dalam Jurusan Seni Bina Ketukangan dari Kajang, Selangor disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Lima mangsa lain mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di Hospital Port Dickson, manakala jenazah Muhammad Aqif dibawa ke bilik mayat hospital untuk proses bedah siasat.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Maslan turut menyeru ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta memastikan mereka menunggang motosikal secara sah dan berhemah.

“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulhelmi Azman di talian 016-9984806 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, seorang guru KVPD yang enggan dikenali memaklumkan, kesemua pelajar terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka di Taman Guru, Port Dickson selepas keluar makan. - Media Telus

+ - reset