TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM tegas, tidak kompromi kesalahan seksual libatkan guru - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

BAYAN LEPAS 18 April - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pendirian tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan membabitkan pendidik, khususnya berkaitan salah laku seksual di sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan berhubung kes seorang guru lelaki yang disyaki menghantar pautan lucah kepada rakan sekerja wanita.

“Siasatan sedang dijalankan, namun saya tegaskan sekali lagi bahawa KPM tidak berkompromi dengan sebarang kesalahan seksual. Seperti yang saya selalu nyatakan, you touch, you go.

“Kita berpegang kepada garis panduan dan peraturan sedia ada. Penegasan ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Smartboard dan Pengisytiharan Pencapaian 100% Penajaan Smartboard Sekolah-Sekolah Pulau Pinang di SMK Bayan Lepas, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang guru lelaki berusia 32 tahun ditahan reman tujuh hari selepas didakwa menghantar pautan lucah kepada seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Guru wanita terbabit turut mendakwa pernah menyaksikan suspek berkelakuan tidak senonoh dengan beberapa pelajar perempuan.

Suspek bagaimanapun tampil membela diri melalui hantaran di Facebook miliknya, menyatakan tindakan itu tidak disengajakan.

Ketika ditanya mengenai tindakan KPM terhadap guru berkenaan, Fadhlina menjelaskan bahawa pihak kementerian akan memberi ruang kepada pihak polis untuk menyelesaikan siasatan terlebih dahulu.

“Kita beri ruang untuk siasatan penuh dilakukan. Belum boleh putuskan sama ada suspek akan didakwa atau tidak.

“Segala tindakan akan dilaksanakan mengikut garis panduan dan peraturan yang ditetapkan setelah siasatan lengkap,” katanya. - Media Telus

+ - reset