TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tak boleh tunggu lama lagi, kerajaan negeri boleh haramkan vape dulu' - Ayob Khan

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR 18 April – Penjualan rokok elektronik atau vape yang disalah guna dengan mencampurkan dadah sintetik mendorong gesaan agar kerajaan negeri mengambil langkah drastik mengharamkannya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya semakin bimbang dengan trend pelajar seawal usia 13 tahun menggunakan vape yang dicampur bahan terlarang seperti methamphetamine dan ekstasi.

“Jika dibiarkan, ia akan menjadi ancaman dadah generasi baharu. Vape kini lebih merbahaya berbanding rokok biasa kerana kandungannya mudah dimanipulasi dan dicampur bahan terlarang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ayob Khan mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil inisiatif seperti negeri Johor yang telah melarang penjualan vape sejak 1 Januari 2016. Menurut beliau, lesen perniagaan vape berada di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), dan negeri mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan larangan sementara menunggu undang-undang baharu di peringkat Persekutuan.

“Walaupun tak semua negeri boleh laksana serentak, tapi kesannya tetap besar. Kita tidak boleh tunggu lama kerana ancaman ini sudah pun wujud,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, satu kajian di Kelantan menunjukkan pengguna vape termuda berumur 13 tahun, dengan 31 peratus daripada mereka adalah pengguna aktif, manakala tujuh peratus menggunakan vape secara kerap.

Malah, dadah berbahaya seperti fentanyl, dikenali sebagai "dadah zombie", turut dikesan dalam cecair vape. Bahan ini didapati 100 kali lebih kuat daripada morfin dan 20 hingga 40 kali ganda lebih berbahaya berbanding heroin.

Dalam perkembangan berkaitan, operasi besar-besaran Op Kenari oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Kedah semalam membongkar kegiatan makmal haram memproses cecair vape dan mushroom mengandungi dadah.

Operasi di sekitar Zon Kuala Muda, Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena itu berjaya menahan 61 individu serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM6 juta. Antara yang ditemui ialah 110 katrij dan 67 botol cecair vape yang dipercayai untuk diedarkan ke Kedah, Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Ayob Khan turut memaklumkan bahawa pihak polis akan memohon peruntukan sebanyak RM80 juta daripada Kementerian Dalam Negeri untuk menambah peralatan mengesan dadah sintetik terkini, dalam usaha meningkatkan keupayaan memerangi ancaman dadah generasi baharu.

 

+ - reset