TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bidoglio mahu JDT terus perbaiki prestasi walaupun tamat liga tanpa alah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 April - Meskipun Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan saingan Liga Super 2024 tanpa sebarang kekalahan, pengendali pasukan, Hector Bidoglio, masih belum berpuas hati dengan prestasi semasa skuad Harimau Selatan.

Menurut Bidoglio, status JDT sebagai kelab gergasi bola sepak negara menuntut semua pemain agar sentiasa bermotivasi tinggi dan tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian semasa.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada bos, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, atas kepercayaan dan segala sokongan yang diberikan. Seperti yang semua tahu, JDT merupakan pasukan besar yang sentiasa berkembang dari hari ke hari.

“Kami perlu terus berusaha dan fokus terhadap perlawanan penting yang akan datang, khususnya final Piala Malaysia,” katanya.

Pada aksi terakhir liga menentang Kuching City di Stadium Negeri, Sarawak, kelmarin, JDT melakar kemenangan ke-23 musim ini hasil jaringan Bergson Da Silva melalui sepakan penalti seawal minit ke-5 dan jaringan Romel Morales pada minit ke-26.

Kejayaan itu menjadikan JDT sebagai pasukan "invincibles" buat kali keempat dalam sejarah kelab, selepas mencatatkan rekod tanpa kalah pada musim 2016, 2022 dan 2023.

Walaupun mencatat kemenangan, Bidoglio mengakui perlawanan menentang Kuching City bukanlah tugas mudah.

“Kami tahu perlawanan ini sukar. Tuan rumah bermain dengan baik dan memberikan saingan hebat. Namun saya tetap bangga dengan pemain kerana mereka telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang musim yang mencabar ini,” ujarnya. - Media Telus

+ - reset