TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KJ menang saman RM2.5 juta kes vaksin Covid-19

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 18 April – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pendakwah bebas, Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq, membayar ganti rugi berjumlah RM2.5 juta kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atas dakwaan memfitnah beliau berkaitan isu vaksin Covid-19.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan oleh Khairy terhadap pendakwah tersebut.

Selain jumlah ganti rugi yang besar, mahkamah turut memerintahkan Mohd. Rasyiq membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Khairy selaku plaintif.

Khairy memfailkan saman itu pada tahun 2022 selepas Mohd. Rasyiq didakwa menyebarkan tuduhan palsu melalui media sosial, termasuk mendakwa beliau mengelirukan orang ramai tentang status vaksinasi dirinya. Ketika itu, Khairy sedang mengetuai pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Peguam yang mewakili Khairy sebelum ini berhujah bahawa kenyataan fitnah tersebut secara langsung merujuk kepada anak guamnya dan dilakukan dengan niat untuk mempersendakan serta mencemar nama baik beliau di mata masyarakat.

Menurut hujahan itu lagi, pendakwah tersebut turut bertindak memetik akaun media sosial rasmi Khairy sebagai rujukan kepada tuduhan tersebut. Malah, selepas menerima dokumen mahkamah, Mohd. Rasyiq dikatakan memberi ‘permohonan maaf’ secara sinis, yang menunjukkan beliau tidak benar-benar menyesal.

Khairy dalam tuntutannya menyatakan bahawa kenyataan fitnah tersebut bukan sahaja menjejaskan reputasinya, malah berpotensi mengganggu kepercayaan masyarakat terhadap usaha kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Keputusan kes ini sebelum ini ditangguhkan seketika susulan pemergian bapa mentua Khairy, bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 7 April lalu.

+ - reset