TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nak cari kerja sambilan, tapi wang simpanan lebih RM30,000 pula yang lesap ditipu scammer

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU 18 April – Gara-gara percaya tawaran kerja sambilan yang kononnya mudah dan menguntungkan, seorang wanita berusia 39 tahun terpaksa menelan hakikat pahit apabila wang simpanannya sebanyak RM30,200 lesap begitu sahaja.

Segalanya bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon pada 4 April lalu sekitar jam 5.50 petang daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah platform e-dagang terkenal.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, suspek mendakwa ingin menghantar “hadiah penghargaan” berupa lampu solar kepada mangsa sebagai tanda terima kasih kerana menjadi pengguna setia.

“Suspek kemudian menambah mangsa ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp, kononnya untuk menyertai tugasan mudah yang menawarkan ganjaran wang tunai RM8 bagi setiap maklum balas yang diberikan,” katanya.

Tambah Azli, mangsa yang bekerja secara sambilan tertarik apabila mula menerima ganjaran seperti dijanjikan. Namun, dia kemudian ditawarkan lebih banyak tugasan dengan imbuhan lumayan menerusi sebuah aplikasi yang diminta untuk dimuat turun.

Malangnya, ‘bulan jatuh ke riba’ itu tidak kekal lama.

“Mangsa mula diminta membayar ‘penalti’ kononnya kerana kelewatan menyelesaikan tugasan. Tanpa curiga, dia akur dan melakukan pemindahan wang berjumlah keseluruhan RM30,200,” katanya lagi.

Wanita itu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas bayaran dibuat tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan.

Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada Rabu lalu, jam 11.25 pagi.

Kes kini disiasat dan pihak polis mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati serta menyemak terlebih dahulu kesahihan tawaran pekerjaan terutama yang dilakukan secara dalam talian.

+ - reset