TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cubaan seludup ganja ke Eropah gagal, Kastam rampas lebih 36kg di KLIA

By
|
Kongsi
image

 

PETALING JAYA 18 April - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis ganja seberat 36.091 kilogram di Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 April lalu.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan tersebut membabitkan bunga ganja kering bernilai RM3.58 juta, yang dipercayai cuba dieksport ke negara-negara Eropah.

Menurut beliau, operasi dijalankan sekitar jam 10.50 malam oleh pasukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit I (WPKL) selepas mesin pengimbas mengesan imej mencurigakan menyerupai bahan organik dalam beberapa bungkusan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bahan organik kering yang dipercayai ganja disorok dalam bungkusan kecil. Bungkusan itu diikrarkan sebagai barangan tidak berkaitan seperti buku, pakaian dan alat permainan. Alamat penghantaran juga tidak lengkap,” katanya dalam sidang media hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta sekurang-kurangnya 15 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau, dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari sekitar Kuantan, Pulau Pinang dan Lembah Klang sebelum dihantar ke KLIA. Sumber sebenar bekalan masih dalam siasatan. - Media Telus

+ - reset