TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

(VIDEO) Serbuan Imigresen di Medan Imbi: 506 warga asing ditahan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 April - Dua lelaki warga asing cedera manakala seorang wanita pengsan selepas cuba melarikan diri dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia di Medan Imbi malam tadi. Ketiga-tiga mereka berjaya ditahan dan diberikan rawatan oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

KLIK SINI UNTUK TONTON VIDEO PENUH

Operasi yang bermula jam 7.30 malam itu menyaksikan seramai 895 individu diperiksa, termasuk 749 warga asing dan 146 warga tempatan. Daripada jumlah itu, seramai 506 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, Medan Imbi dikenal pasti sebagai kawasan panas yang sering menjadi tempat tinggal pendatang tanpa izin. Pemeriksaan mendapati premis di kawasan tersebut diubah suai menjadi bilik sempit yang disewa oleh lima hingga enam orang, dan ada unit menempatkan sehingga 30 penyewa.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi tempoh sah, penyalahgunaan pas lawatan kerja serta pemilikan kad UNHCR luar yang tidak diiktiraf di Malaysia. Mereka yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

Dalam serbuan itu, warga asing dari Bangladesh merupakan kumpulan tertinggi yang ditahan, diikuti oleh warga Nepal dan Indonesia, selain tangkapan melibatkan warga India dan Sri Lanka. Seramai 185 pegawai dan anggota Imigresen dari pelbagai agensi termasuk JBPM dan JPN terlibat dalam operasi bersepadu ini.

Zakaria turut memaklumkan bahawa sepanjang tahun ini, Jabatan Imigresen telah melaksanakan 3,870 operasi dengan 22,486 pendatang asing ditahan. Beliau menegaskan bahawa operasi akan diteruskan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang Imigresen. - Media Telus

+ - reset