TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Remaja maut rempuh SUV dipandu warga emas

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU 18 April - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Kampung Atas Tol, awal pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.10 pagi itu, mangsa, Farid Rizuan Mohamad Hanapiah, menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Surau Haji Daud dari rumah seorang kenalan di Kampung Pengadang Baru.

“SUV jenis Ford Everest yang dipandu seorang pesara guru berusia 71 tahun pula dipercayai dalam perjalanan pulang dari sebuah kedai makan di Kampung Kedai Buluh ke rumahnya di Kampung Atas Tol,” katanya.

Menurut beliau, kejadian berlaku apabila SUV berkenaan yang datang dari arah bertentangan membelok ke simpang kiri motosikal, menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan tersebut.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut.

“Pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. - Media Telus

+ - reset