TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tun M mungkin ambil tindakan undang-undang terhadap Puad Zarkashi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 April - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, susulan kenyataan beliau yang mendesak Dr Mahathir memulangkan aset milik parti.

Menurut laporan Sinar Harian, peguam Dr Mahathir, Rafique Rashid Ali, memaklumkan bahawa satu notis tuntutan telah dikeluarkan berikutan kenyataan Mohd Puad yang dibuat pada Sabtu lalu.

Meskipun penulisan atau penerbitan berkenaan telah dipadamkan oleh Mohd Puad, tindakan tersebut dibuat tanpa sebarang permohonan maaf, yang menurut Rafique tidak boleh dibiarkan tanpa respons sewajarnya.

“Dr Mahathir menuntut agar Mohd Puad mengadakan satu sidang media terbuka di Bangunan UMNO untuk membuat pengakuan bahawa kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini adalah fitnah dan merupakan satu kesilapan,” kata Rafique dalam satu kenyataan.

Dalam sidang media tersebut, Mohd Puad juga dikehendaki menarik balik tuduhan bahawa Dr Mahathir telah berlaku pecah amanah, serta menyatakan bahawa dakwaan itu tidak benar sama sekali.

Sebelum ini, pada Rabu, Dr Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO menjelaskan bahawa beliau telah menyerahkan semula tanggungjawab sebagai pemegang amanah ke atas sebidang tanah seluas 9,723 meter persegi di Kuala Lumpur kepada parti tersebut sejak tahun 2015.

Jelasnya, saman pemula yang difailkan oleh UMNO untuk mendapatkan perisytiharan mahkamah berhubung pemindahan hak milik tanah tersebut tidak melibatkan dirinya.

Rafique turut memaklumkan bahawa pihaknya menuntut Mohd Puad membuat permohonan maaf bertulis tanpa syarat, serta memberi aku janji bahawa beliau atau mana-mana pihak berkaitannya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut yang boleh mencemarkan nama baik dan reputasi Dr Mahathir. - Media Telus

+ - reset