TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kelapa Malaysia tembus pasaran China - MoU dimeterai sempena lawatan Xi Jinping

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 17 April - Malaysia kini secara rasmi memperoleh akses untuk mengeksport kelapa segar ke pasaran China selepas termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) bersejarah antara kedua-dua negara, semalam.

Perjanjian itu dimeterai sempena lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, yang menyaksikan pengukuhan kerjasama perdagangan pertanian antara Putrajaya dan Beijing.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyifatkan detik ini sebagai lonjakan besar bagi sektor pertanian negara, hasil daripada usaha gigih dan rundingan berterusan antara Kementerian Pertanian dan Pentadbiran Am Kastam China (GACC).

“Pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari ini penting untuk memastikan kelapa segar Malaysia bukan sahaja boleh menembusi pasaran China, tetapi juga bersaing secara kompetitif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, protokol ini akan mendorong amalan pertanian sistematik dalam kalangan pengusaha tempatan, memperkukuh industri kelapa negara, serta menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha menjamin keterjaminan makanan dan pertumbuhan eksport agrikomoditi.

Kerajaan, katanya, akan terus memastikan hasil tani negara mendapat tempat di pentas global, seterusnya membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat dan memperkukuh ekonomi negara.

Lawatan tiga hari Xi Jinping ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, turut menyaksikan pertukaran 31 dokumen kerjasama merangkumi pelbagai sektor strategik.

Ini merupakan lawatan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan bersejarah beliau pada tahun 2013 yang mengangkat hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif. - Media Telus

+ - reset