Berita Sukan
TMJ bidas pemain mudah terpengaruh nasihat tidak berasas

KUALA LUMPUR 17 April - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pemain bola sepak tanah air yang dikatakan mudah terpengaruh dengan nasihat individu luar yang tidak berpengalaman dalam industri bola sepak.
Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menyatakan bahawa tindakan pemain mengikuti nasihat yang tidak tepat telah menyebabkan mereka menghadapi detik sukar dalam kerjaya, termasuk masalah tunggakan gaji, kekurangan minit permainan serta tiada pencapaian membanggakan.
"Yang menasihat tiada dalam industri bola sepak, tetapi bersuara seolah-olah lebih tahu dan berpengalaman. Kononnya dinasihat keluar dari JDT untuk dapat lebih minit permainan. Akhirnya, gaji tak dapat, tempat latihan tak seberapa, main pun jarang, piala tiada dan kejohanan antarabangsa pun tiada," titah baginda.
Baginda turut menyentuh berkenaan pemain yang memilih untuk beraksi di luar negara, namun akhirnya terpaksa berhadapan dengan situasi sukar, termasuk gaji rendah dan prestasi tidak konsisten.
"Yang dinasihat keluar negara pula hanya setakat dapat pengalaman, gaji tak seberapa dan persembahan pun tak seberapa. Apabila bersara terpaksa kais sini sana," titah baginda lagi.
JDT Sediakan Platform Terbaik
Tunku Mahkota Ismail menjelaskan bahawa JDT menyediakan platform stabil buat para pemain dengan fasiliti bertaraf antarabangsa, kestabilan kewangan, peluang memenangi piala dan menyertai kejohanan antarabangsa.
"Paling tidak, di JDT walaupun minit permainan kurang, mereka masih boleh bersara sebagai juara, dengan pengalaman luas dan kedudukan kewangan stabil," titah baginda.
Baginda turut menyelar tindakan sesetengah pemain yang memilih untuk berpindah atau dipinjamkan ke kelab lain tanpa rundingan profesional, sebaliknya hanya berdasarkan nasihat luar yang tidak bertanggungjawab.
"Kalau nak dipinjamkan pun biar kelab bantu, jadi isu gaji tak timbul. Bukan buat keputusan sendiri semata-mata dengar cakap orang. Sekarang bila dah susah, mana semua 'penasihat' itu?" soal baginda.
Isu Tunggakan Gaji dan Krisis Kewangan Liga M
Kenyataan Tunku Mahkota Ismail itu hadir susulan situasi semasa Liga Malaysia (Liga M) yang dilanda isu tunggakan gaji, khususnya selepas beberapa pasukan utama berdepan krisis kewangan yang menjejaskan prestasi pasukan dan kebajikan pemain.
Sebelum ini, terdapat desakan daripada penyokong dan pihak tertentu supaya pemain JDT dilepaskan ke pasukan lain bagi mendapatkan lebih minit permainan, namun langkah itu kini dilihat memakan diri sesetengah pemain apabila terjebak dengan kelab yang tidak stabil. - Media Telus
Berita berkaitan
April 17, 2025, 1:38 pm
JDT tamat saingan Liga Super tanpa kalah, 11 kali juara berturut-turut
April 16, 2025, 1:13 pm
Final Piala Malaysia: Sambutan dingin jualan tiket, penyokong JDT kurang berminat ke Bukit Jalil
April 15, 2025, 1:37 pm
JDT terus dominasi bola sepak negara, catat musim 2024–2025 penuh gemilang
April 11, 2025, 2:43 pm
Bidoglio fokus lawan Kuching City dahulu, bukan final Piala Malaysia
April 11, 2025, 12:56 pm
Bergson hampir rampas gelaran penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super
April 9, 2025, 11:43 am
TMJ lawat pusat latihan PSG, dijemput saksikan aksi Liga Juara-Juara
April 8, 2025, 4:43 pm
Manchester United sah beraksi di Malaysia 28 Mei Ini
April 8, 2025, 10:48 am
Tewaskan Yemen 4-1, Indonesia cipta sejarah layak ke Piala Dunia
March 28, 2025, 1:13 pm