TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

NGO tiada kuasa, wakil rakyat perlu ambil tanggungjawab tangani isu kuil - Sivakumar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 April - Pengurusan rumah ibadat, khususnya Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), diingatkan agar sentiasa peka dan bertanggungjawab dalam memastikan institusi keagamaan mereka diurus dengan teratur serta mematuhi undang-undang sedia ada.

Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA), Datuk N Sivakumar berkata, sejarah kewujudan kuil di Malaysia telah bermula sejak zaman pemerintahan British lagi dan terus diamalkan sehingga kini sebagai simbol perpaduan dan pusat keagamaan masyarakat Hindu.

Namun begitu, katanya, pengurusan baharu kuil harus lebih teliti dalam menguruskan aspek dokumentasi dan pemilikan tanah bagi mengelakkan timbul pelbagai masalah di kemudian hari.

“Apabila berlaku pertukaran pentadbiran, dokumen berkaitan seperti geran tanah, surat kebenaran dan pendaftaran harus dikemas kini dan disimpan dengan sistematik.

"Kegagalan melakukannya boleh mengundang pelbagai isu termasuk masalah status tanah, peruntukan dan pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, sekiranya rumah ibadat terlibat dalam sebarang pertikaian, pengurusan perlu mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat kawasan berkenaan serta melalui saluran rasmi, bukannya bergantung sepenuhnya kepada badan bukan kerajaan (NGO).

“Ramai pengurusan kuil mengadu bahawa NGO tidak mampu menyelesaikan isu besar seperti pertikaian tanah atau pendaftaran. Ini kerana NGO hanyalah suara masyarakat dan tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk bertindak.

“Sebaliknya, wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat mempunyai akses terus kepada pejabat tanah, ahli majlis, EXCO dan kementerian untuk menyelesaikan masalah rakyat. Jadi, rakyat perlu bijak membezakan peranan antara NGO dan wakil rakyat,” ujarnya.

Sivakumar turut menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama perlu terus memelihara keharmonian dan perpaduan sedia ada, justeru adalah penting agar isu berkaitan rumah ibadat ditangani secara adil tanpa mengira latar agama atau bangsa.

Beliau juga menyeru wakil rakyat agar memainkan peranan aktif, tidak hanya ketika musim pilihan raya, tetapi juga sewaktu rakyat memerlukan bantuan dan penyelesaian terhadap isu-isu tempatan.

"Apabila anda perlukan undi rakyat untuk memenangi kerusi, anda berjanji untuk menjadi suara mereka. Maka apabila rakyat memerlukan anda, tunaikan tanggungjawab itu," katanya.

Dalam pada itu, Sivakumar menyeru rakyat agar terus berinteraksi dengan wakil rakyat masing-masing untuk memastikan kebajikan rumah ibadat dan hal ehwal komuniti setempat terus diberi perhatian sewajarnya.

 

+ - reset