Berita Berita
Kelantan kekal tertinggi kes dadah, Pendang catat daerah paling 'panas'

ALOR SETAR 17 April - Kelantan kekal merekodkan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia, dengan 1,130 kes bagi setiap 100,000 penduduk, menurut statistik terbaharu polis.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Terengganu mencatat angka kedua tertinggi dengan 914 kes, diikuti Perlis (965 kes) dan Kedah (898 kes) bagi nisbah penduduk yang sama.
“Berdasarkan rekod sepanjang 2024, sebanyak 192,857 kes penyalahgunaan dadah dicatatkan di seluruh negara, dengan majoriti — 61 peratus — membabitkan individu berusia antara 15 hingga 39 tahun, iaitu golongan paling produktif dalam masyarakat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.
Beliau memaklumkan, daripada jumlah itu, 56 peratus adalah lelaki, 75 peratus daripada kaum Melayu dan 37 peratus tidak mempunyai pekerjaan.
Sementara itu, daerah Pendang di Kedah terus memegang rekod sebagai kawasan paling tinggi kes dadah di Malaysia, dengan 1,798 kes bagi setiap 100,000 penduduk — peningkatan ketara berbanding 1,333 kes tahun sebelumnya.
“Selepas Pendang, daerah-daerah di Kelantan iaitu Kuala Krai (1,442), Bachok (1,315), Tanah Merah (1,275) dan Pasir Puteh (1,265) turut mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah yang tinggi,” jelasnya.
Hasil kajian mendapati 47 peratus daripada kes penyalahgunaan dadah berpunca daripada pengaruh rakan sebaya, manakala 18 peratus melibatkan mereka yang sekadar mahu mencuba.
Mengulas operasi semasa, Ayob Khan berkata pihak polis giat meneruskan tindakan agresif terhadap rangkaian sindiket pengedaran dadah, menerusi Ops Kenari yang dijalankan selama lapan hari di Kedah dan Perlis sejak 9 April lalu.
“Kami menyasarkan pembekal utama dan pengedar besar yang kini dipercayai telah melarikan diri ke negara jiran bagi mengelak daripada ditahan,” katanya.
Beliau menegaskan, usaha membanteras penyalahgunaan dadah akan diteruskan secara menyeluruh bagi mengekang ancaman yang semakin membimbangkan ini.
Berita berkaitan
April 19, 2025, 2:41 pm
Tangan lelaki tersangkut lubang tandas ketika mahu ambil gigi palsu terjatuh
April 19, 2025, 2:02 pm
Masih ada yang tak faham, Johari adakan sidang media jelas isu Kampung Sungai Baru minggu depan
April 19, 2025, 11:36 am
Pengetua sekolah di Kulai letak jawatan kes pelajar sunting, jual gambar lucah
April 19, 2025, 10:46 am
Pemandu rentung, kereta terbabas langgar pembahagi jalan di Pendang
April 19, 2025, 9:25 am
Pendakwaan kes Zayn Rayyan dijangka tutup kes minggu hadapan
April 18, 2025, 7:02 pm
Laporan awal insiden Putra Heights hampir siap, paip meletup sudah ditemui - Polis
April 18, 2025, 3:12 pm
'Kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang bukan perkara ringan' - Anwar
April 18, 2025, 1:12 pm
Akmal Saleh tegas bantah dakwaan pemilihan PKR terpengaruh budaya UMNO
April 18, 2025, 1:09 pm
Remaja 15 tahun maut terkena renjatan elektrik ketika memanah ikan di sungai
April 18, 2025, 1:00 pm