Berita Sukan
JDT tamat saingan Liga Super tanpa kalah, 11 kali juara berturut-turut

KUALA LUMPUR 17 April - Johor Darul Ta'zim (JDT) terus menegaskan dominasi mereka dalam arena bola sepak tempatan apabila menamatkan saingan Liga Super 2024 tanpa sebarang kekalahan selepas menundukkan Kuching City 2-0 di Stadium Negeri, Kuching semalam.
Kemenangan itu bukan sahaja memastikan kejuaraan Liga Super ke-11 berturut-turut sejak 2014, malah turut memperkukuh status skuad Harimau Selatan sebagai kuasa besar bola sepak Malaysia dengan rekod lima musim tanpa kalah dalam saingan liga – dicapai pada musim 2016, 2020, 2022, 2023 dan terkini 2024.
Musim ini, JDT merekodkan 23 kemenangan dan satu keputusan seri, dengan hanya tercicir dua mata keseluruhan untuk mengumpul 70 mata – menjadikan mereka satu-satunya pasukan yang masih belum pernah tewas dalam Liga Super sejak April 2021.
“Alhamdulillah,” tulis Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim di laman X sambil berkongsi poster kejayaan JDT yang dimuat naik menerusi akaun rasmi kelab itu.
Untuk rekod, kali terakhir JDT tewas dalam Liga Super adalah 0-1 kepada Terengganu di Larkin pada April 2021, manakala di gelanggang lawan pula, mereka telah mengekalkan rekod kebal dalam 73 perlawanan berturut-turut sejak Mac 2018.
Kejayaan musim ini juga meletakkan JDT semakin hampir mencipta satu lagi pencapaian bersejarah – ‘hatrik quadruple’ – jika mereka menjuarai Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 26 April ini menentang Sri Pahang.
Skuad kendalian Hector Bidoglio sebelum ini telah menjuarai Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super, dan hanya memerlukan satu lagi kejuaraan untuk melengkapkan kejayaan empat piala dalam satu musim buat kali ketiga berturut-turut selepas melakukannya pada 2022 dan 2023.
Kejayaan ini sekaligus mengukuhkan legasi JDT sebagai kelab paling berjaya dalam era moden bola sepak Malaysia – bukan sahaja dari segi kejuaraan, tetapi juga rekod konsistensi dan profesionalisme pengurusan yang menjadi penanda aras industri bola sepak negara. - Media Telus
Berita berkaitan
April 17, 2025, 4:59 pm
TMJ bidas pemain mudah terpengaruh nasihat tidak berasas
April 16, 2025, 1:13 pm
Final Piala Malaysia: Sambutan dingin jualan tiket, penyokong JDT kurang berminat ke Bukit Jalil
April 15, 2025, 1:37 pm
JDT terus dominasi bola sepak negara, catat musim 2024–2025 penuh gemilang
April 11, 2025, 2:43 pm
Bidoglio fokus lawan Kuching City dahulu, bukan final Piala Malaysia
April 11, 2025, 12:56 pm
Bergson hampir rampas gelaran penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super
April 9, 2025, 11:43 am
TMJ lawat pusat latihan PSG, dijemput saksikan aksi Liga Juara-Juara
April 8, 2025, 4:43 pm
Manchester United sah beraksi di Malaysia 28 Mei Ini
April 8, 2025, 10:48 am
Tewaskan Yemen 4-1, Indonesia cipta sejarah layak ke Piala Dunia
March 28, 2025, 1:13 pm