TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki maut jatuh perigi sedalam 3 meter di Kampar

By
|
Kongsi
image

KAMPAR, 17 April - Seorang lelaki berusia 57 tahun maut selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam tiga meter ketika sedang mengambil air di Kampung Nyior, Batu 19 1/2 di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.52 pagi.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar segera dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 8.02 pagi. Setibanya di lokasi, didapati mangsa dipercayai tergelincir ke dalam perigi sedalam tiga meter.

“Anak lelaki mangsa memaklumkan kejadian berlaku sekitar waktu subuh tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pasukan penyelamat kemudian menggunakan sistem tali khas (1:2) untuk mengangkat mangsa keluar dari perigi.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

+ - reset