TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tarif AS: Harga Iphone boleh cecah harga sebiji kereta - Tengku Zafrul

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 April - Harga telefon pintar jenama popular, iPhone berkemungkinan melonjak naik sehingga setara harga sebuah kereta sekiranya Amerika Syarikat (AS) terus menaikkan kadar tarif balas terhadap barangan import.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembuatan iPhone melibatkan komponen dari pelbagai negara — antaranya cip dari Taiwan, skrin dari Korea Selatan, bateri dari China, modem dan memori dari AS, storan dari Jepun serta kamera dari beberapa negara lain, sebelum dipasang di China.

Katanya, ketika ini kos penghasilan sebuah iPhone dianggarkan sekitar AS$549.73 (RM2,424). Namun jika dikenakan tarif sebanyak 145 peratus, harganya boleh melonjak kepada AS$1,400 (RM6,174).

“Malah, jika ia dihasilkan sepenuhnya di AS, ada pihak menjangkakan harganya boleh mencecah AS$3,500 atau kira-kira RM16,000. Bila harga naik di AS, negara lain turut terkesan sebab harga iPhone global biasanya mengikut harga di pasaran AS.

“Buat masa ini, AS telah memberi pengecualian tarif kepada komponen telefon pintar dan komputer, khususnya dari China. Jadi, peminat iPhone boleh menarik nafas lega — cuma tak pasti sampai bila, kerana bila-bila masa dasar itu boleh berubah,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan harga iPhone dijangka meningkat antara 30 hingga 43 peratus susulan keputusan tarif dikenakan AS terhadap negara yang berdagang dengannya.

Laporan itu turut menyatakan, sekiranya tarif tersebut berlanjutan, Apple berdepan pilihan sukar sama ada menanggung kos tersebut atau memindahkannya kepada pengguna.

Sabtu lalu, AS dilaporkan memberi pengecualian tarif kepada telefon pintar, skrin komputer, cip dan komponen elektronik yang dieksport ke negara itu, sebagai langkah mengurangkan tekanan terhadap pasaran elektronik global susulan tarif minimum 145 peratus yang dikenakan ke atas barangan dari China.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global, terutama dalam eksport semikonduktor.

"Semasa pandemik COVID-19 dahulu, kilang kereta Ford di AS terpaksa menghentikan operasi kerana tidak mendapat bekalan cip dari Malaysia.

"Cip itu kecil saja, tetapi bila tiada, kilang besar pun boleh lumpuh. Semua negara saling bergantung antara satu sama lain. Tiada sebuah negara pun yang mampu menghasilkan segalanya sendiri.

“Tarif sebegini umpama kesesakan lalu lintas — ia menyekat semua pihak, dari pengeluar, pengguna hinggalah pelabur. Sebab itu perdagangan terbuka amat penting, lebih-lebih lagi untuk negara seperti Malaysia,” jelasnya.

 

+ - reset