TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar jamin Malaysia tidak akan terperangkap dalam perang ekonomi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak akan terperangkap dalam ketegangan perang ekonomi yang semakin memuncak antara China dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut beliau, Malaysia kekal dengan pendirian terbuka untuk menjalinkan hubungan baik dengan semua negara, tanpa membenarkan mana-mana pihak memberi tekanan terhadap keputusan dan dasar negara.

“Hubungan Malaysia dan China adalah demi kepentingan rakyat, ekonomi, pembangunan serta keutuhan negara. Begitu juga hubungan dagang dengan AS yang masih kukuh, contohnya eksport semikonduktor Malaysia ke AS kini mencecah 60 peratus.

“Prinsip kita jelas, Malaysia mengamalkan perdagangan bebas dan menggalakkan pelaburan tanpa perlu menjejaskan kedaulatan negara. Kita adalah negara merdeka, bebas dan berdaulat,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.

Anwar turut menjelaskan bahawa kehadiran pemimpin tertinggi China ke negara ini tidak pernah dianggap sebagai satu tekanan, sebaliknya hubungan kedua-dua negara yang telah sekian lama terjalin atas dasar persahabatan dan saling menghormati.

“Kita berbincang dan diberi penghormatan. Hubungan ini sangat bermakna bagi Malaysia kerana China juga melihat kita sebagai rakan setara,” ujarnya.

Menurut beliau, sejak dua tahun lalu, Malaysia giat memperkukuhkan hubungan dagang dan pelaburan, bukan sahaja dengan negara jiran, malah sambutan kerjasama daripada China juga amat menggalakkan.

“Pelaburan dan perdagangan terus meningkat. Malah kerjasama dalam bidang pendidikan, TVET, budaya dan pelancongan turut bertambah. Ini memberi manfaat besar kepada negara, khususnya dalam bidang teknologi dan industri menerusi pelbagai projek mega,” katanya.

Anwar turut mengulas mengenai cabaran ekonomi global, termasuk kejutan tarif yang dikenakan AS, namun Malaysia tetap berpegang kepada prinsip perdagangan bebas kerana sekatan hanya akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Bagi konteks China, situasinya berbeza kerana sebagai negara jiran, kekuatan ekonomi China turut memberi manfaat langsung kepada kita.

“Sikap kita mudah, selagi orang berkawan baik dengan kita, kita sambut baik. Sebarang permasalahan juga boleh diselesaikan secara rundingan harmoni,” katanya.

Beliau menambah, semua negara wajar menggalakkan persahabatan antarabangsa, terutamanya di rantau ASEAN dan Asia, selain memastikan keutamaan terhadap kepentingan rakyat dalam soal pekerjaan, pendidikan dan penguasaan teknologi.

“Saya percaya hubungan baik dengan China mampu memperkaya peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

+ - reset