TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat Sin Chew Daily cetak Jalur Gemilang tak lengkap - KPN

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily susulan kesilapan menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit dalam penerbitan muka hadapannya semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung insiden tersebut.

“Ya, kita telah menerima laporan polis dan siasatan telah dibuka,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Beliau memaklumkan siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Semalam, Sin Chew Daily menerima kritikan hebat selepas menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapannya bersempena liputan lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.

Bendera Malaysia dipaparkan bersama bendera China dalam ilustrasi berkenaan.

Kesilapan itu mengundang kemarahan orang ramai yang menyifatkannya sebagai kecuaian serius dan tindakan tidak sensitif terhadap lambang kedaulatan negara.

Berikutan itu, Sin Chew Daily tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan tersebut.

Dalam kenyataannya, pihak akhbar memaklumkan kegagalan memaparkan bulan sabit berpunca daripada kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

“Kami amat kesal dan kecewa atas kekhilafan ini. Bagi pihak semua kakitangan Sin Chew Daily, kami menyusun 10 jari memohon jutaan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Pindaan segera telah dilakukan terhadap ilustrasi di versi digital, manakala ilustrasi yang telah diperbetulkan akan diterbitkan semula dalam edisi cetakan akhbar pada Rabu,” katanya.

 

+ - reset