TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Prasarana tarik semua visual iklan dianggap sentuh sensitiviti masyarakat

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 April - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sudah menarik semua visual iklan berhubung produk penjagaan diri daripada perkhidmatan tren laluan Ampang dan Sri Petaling yang dikatakan menyentuh sensitiviti masyarakat. 

Prasarana berkata, langkah itu dibuat selepas menerima maklum balas daripada pengguna perkhidmatan tren. 

Tindakan yang diambil bagi memastikan visual iklan itu tidak menimbulkan isu sensitif kepada orang ramai dan tindakan serta-merta diambil dengan memperketatkan proses semakan. 

"Maklum balas dan pandangan masyarakat sangat dihargai terutama apabila sesuatu bentuk sasaran kepada individu atau komuniti disalah tafsir. 

"Kami mengucapkan terima kasih atas sokongan dan keprihatinan orang ramai yang berterusan terhadap penggunaan pengangkutan awam," kata syarikat itu dalam kenyataan, hari ini. 

Kenyataan itu dipercayai susulan reaksi warga maya berikutan tular di media sosial satu hantaran mempersoalkan elemen visual iklan berkaitan produk penjagaan diri yang dianggap menyentuh sensitiviti kaum tertentu. 

Prasarana menegaskan mereka mengambil iktibar atas maklum balas pengguna berkaitan visual iklan pada salah sebuah tren Rapid KL itu. 

"Kandungan visual iklan yang mempromosikan produk penjagaan diri menggambarkan pelbagai situasi harian yang membabitkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang menggunakan pengangkutan awam. 

"Tujuan visual iklan itu adalah memaparkan kepentingan penggunaan produk penjagaan diri dan tidak menyasarkan mana-mana individu atau komuniti tertentu," katanya. 

Syarikat itu turut menjelaskan sebelum visual itu dicetak dan dipaparkan, proses yang sewajarnya turut dilakukan termasuklah semakan oleh pihak dalaman dan luaran merangkumi aspek-aspek seperti sensitiviti kaum, agama dan sosial.

+ - reset