TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bank Rakyat umum dividen 17 peratus bagi tahun kewangan 2024

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 April - Kumpulan Bank Rakyat hari ini mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 17 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM486.32 juta kepada seramai 773,859 anggota yang layak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata prestasi kewangan yang kukuh membolehkan Bank Rakyat mengekalkan kadar dividen kompetitif meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global dan suasana perbankan yang mencabar.

“Pembayaran dividen ini adalah bentuk penghargaan kepada anggota dan pihak berkepentingan atas sokongan berterusan mereka. Bayaran dividen akan dibuat mulai 16 April 2025.

“Lebih membanggakan, Bank Rakyat berjaya mengekalkan rekod pembayaran dividen dua digit selama lebih 20 tahun, mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan prestasi kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun 2024 dalam satu majlis di ibu negara hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Shahril Mohd Shariff.

Dalam masa sama, Ewon memaklumkan Bank Rakyat turut meneruskan komitmennya menyokong pembangunan sektor koperasi menerusi sumbangan kepada dua dana amanah utama.

Sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat, bersamaan RM36.43 juta, disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi, manakala satu peratus atau RM18.22 juta disumbangkan kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

“Secara keseluruhannya, sumbangan bagi tahun 2024 berjumlah RM54.65 juta, meningkat berbanding RM53.21 juta pada tahun sebelumnya,” katanya. - Media Telus

 

+ - reset