TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ketiadaan bulan sabit dalam Jalur Gemilang kekhilafan serius, bukan sekadar isu teknikal - Pemuda PAS

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 April - Insiden ketiadaan simbol bulan sabit dalam Jalur Gemilang yang disiarkan oleh akhbar Sin Chew Daily baru-baru ini disifatkan sebagai satu kekhilafan serius yang menyentuh aspek simbolik dan perlembagaan negara, bukan sekadar isu teknikal semata-mata.

Menurut Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, bulan sabit dalam bendera kebangsaan bukan hanya satu hiasan grafik, tetapi lambang identiti Malaysia sebagai negara Islam, selari dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Ketiadaan lambang ini memberi gambaran yang amat tidak wajar, seolah-olah identiti Islam dalam negara kita dipadam atau diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Seruan Siasatan dan Garis Panduan Baharu

Sehubungan itu, Mohamed Sukri menggesa agar Kementerian Komunikasi dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan yang sewajarnya dengan menyiasat insiden tersebut dan merangka garis panduan jelas kepada semua agensi media dalam penggunaan simbol rasmi negara.

Beliau menegaskan bahawa semua media, tanpa mengira latar belakang atau bahasa, wajib menghormati lambang-lambang kedaulatan negara.

“Patriotisme mesti berlandaskan kefahaman mendalam terhadap simbol negara, bukan sekadar permohonan maaf selepas kesilapan berlaku,” tambahnya.

Permohonan Maaf dan Pembetulan Ilustrasi

Sin Chew Daily sebelum ini telah memohon maaf secara terbuka atas kesilapan yang berlaku pada muka depan akhbar bertarikh 15 April 2025, yang memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit dalam ilustrasi kolaborasi Malaysia-China.

Akhbar itu menjelaskan ia berpunca daripada kesilapan teknikal, dan segera mengambil tindakan dengan meminda ilustrasi versi digital, selain menerbitkan semula versi cetak yang telah diperbetulkan pada keesokan harinya. - Media Telus

+ - reset