TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM disaran sedia garis panduan sambutan hari raya di sekolah, elak beban guru

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 16 April - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran menyediakan satu garis panduan khusus berkaitan penganjuran sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah bagi mengelak pembaziran, beban kerja berlebihan kepada guru, serta memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak terjejas.

Cadangan tersebut dikemukakan oleh Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM), Anuar Ahmad, susulan luahan guru-guru yang merasa terbeban dengan penganjuran sambutan raya secara besar-besaran.

“Walaupun sambutan Aidilfitri di sekolah dapat memupuk perpaduan, pelaksanaannya perlulah berpada-pada. Jangan sampai menjejaskan PdP dan tumpuan guru terhadap tugasan utama mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau turut berkongsi keluhan seorang guru yang menyuarakan kebimbangan apabila pihak sekolah merancang jamuan raya berskala besar termasuk jemputan ibu bapa serta arahan kepada guru untuk turut serta ‘merewang’ dan mengurus majlis.

“Kami guru penat la camni,” petik sebahagian luahan tersebut yang tular.

Keseimbangan Antara Sambutan & Tanggungjawab Akademik

Menurut Anuar, kejelasan dasar daripada pihak KPM amat penting bagi memastikan sambutan perayaan di sekolah dirancang secara wajar tanpa membebankan guru dari aspek masa, kos dan tenaga.

“Semua aktiviti di sekolah mesti meletakkan keutamaan kepada pembelajaran. Guru tidak sepatutnya dipaksa mengurus hal-hal luar skop utama mereka secara berlebihan kerana ini boleh jejaskan motivasi dan prestasi kerja mereka,” katanya.

Beliau menegaskan, sambutan seperti Hari Raya perlu diraikan dalam suasana yang sederhana tetapi bermakna, selari dengan peranan institusi pendidikan sebagai tempat membina ilmu dan nilai, bukan menjadi pusat hiburan atau acara sosial semata-mata.

Isu Lama yang Kembali Berulang

Isu beban tugas guru berkaitan aktiviti luar bilik darjah seperti jamuan, sambutan hari perayaan, sukan, dan pelbagai bentuk penganjuran lain bukan perkara baharu. Ia sering menjadi keluhan warga pendidik apabila arahan pelaksanaan tidak datang bersama bantuan mencukupi dari aspek sumber manusia atau kewangan.

“Kita harap KPM dapat tampil dengan garis panduan menyeluruh agar wujud keseimbangan antara nilai perpaduan melalui sambutan perayaan dan tanggungjawab akademik yang perlu dikekalkan,” ujar Anuar mengakhiri kenyataannya.

+ - reset