TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

UMNO sanggah tuduhan PN, tegaskan kerjasama Dengan DAP demi titah Agong

By
|
Kongsi
image

BIDOR 16 April - UMNO menolak dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa parti itu telah lari daripada perjuangan asal berikutan kerjasama dengan DAP dalam membentuk Kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tuduhan itu tidak berasas dan menggambarkan kejumudan strategi kempen PN yang terus memainkan isu sama setiap kali pilihan raya.

Menurutnya, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hanya terbentuk selepas PN menolak titah Yang di-Pertuan Agong pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Baginda memanggil Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bertitah agar dihentikan persengketaan serta bentuk kerajaan perpaduan demi kestabilan negara. Namun, beliau dan Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak kerjasama itu dalam sidang media selepas keluar dari Istana Negara,” katanya dalam satu ceramah sempena kempen PRK DUN Ayer Kuning malam tadi.

Asyraf menegaskan, kerjasama BN dan PH adalah langkah terakhir selepas keputusan PRU15 tidak menghasilkan majoriti jelas, dan ia didukung oleh perjanjian bertulis yang ditandatangani 18 parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa UMNO menjadikan titah Yang di-Pertuan Agong sebagai alasan untuk bekerjasama dengan DAP.

“Keputusan kerjasama dimuktamadkan hanya selepas mesyuarat tergempar Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 23 November 2022 yang turut bersetuju mengubah ketetapan ‘No DAP dan No Anwar’,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, keputusan itu bukan mudah, tetapi UMNO memilih untuk patuh pada titah Agong, sejajar dengan prinsip parti dalam mempertahankan institusi diraja.

“Kita terpaksa berkawan dengan musuh politik paling dibenci – DAP. Ini bukan kehendak kita, tetapi keadaan mendesak dan demi kestabilan negara,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerjasama itu dibuat secara bersyarat, termasuk persetujuan untuk mengekalkan Perkara 3 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, menjaga institusi diraja, dan menjunjung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. - Media Telus

+ - reset