TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu BMW mabuk mengaku tak salah langgar penghantar makanan

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 16 April - Seorang pekerja bengkel, Kok Zi Kang, 25, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dua pertuduhan termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang penghantar makanan pada Ahad lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Kok didakwa memandu kereta jenis BMW 530i dengan kadar alkohol dalam darah sebanyak 76mg/100ml – melebihi had yang ditetapkan iaitu 50mg/100ml – sehingga mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa Mohd Taufik Arif Sariff, 37.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 2.10 pagi, 13 April lalu di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru–Kota Tinggi.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun, denda maksimum RM100,000 serta hilang kelayakan memandu jika sabit kesalahan.

Selain itu, Kok turut berdepan satu lagi pertuduhan kerana mempamerkan nombor pendaftaran yang tidak sah pada kenderaan dipandunya pada hari sama sekitar jam 4.30 pagi di Balai Polis Trafik IPD Seri Alam. Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 108(3)(f) akta sama, dengan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa, Amirah Tasnim, memohon jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan bersama tiga syarat tambahan: melapor diri di balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, dan penggantungan lesen memandu sehingga kes selesai.

Namun, peguam tertuduh, Chuah Shyue Chien, memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya menanggung ibu bapa dan hanya berpendapatan RM4,000 sebulan sebagai pekerja bengkel.

Mahkamah akhirnya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta tiga syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwa.

Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 19 Mei depan.

Terdahulu, media melaporkan Mohd Taufik maut selepas dirempuh kereta BMW ketika membantu mangsa kemalangan lain di Jalan Kota Tinggi–Johor Bahru berhampiran Taman Desa Jaya kira-kira jam 2 pagi. - Media Telus

+ - reset