TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Presiden China Xi Jinping terima sambutan negara di Istana Negara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 April - Presiden China, Xi Jinping, menerima sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara pagi ini, sempena Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Sambutan rasmi itu dimulakan sejurus ketibaan Xi pada jam 10.30 pagi, yang disambut Seri Paduka Baginda bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta barisan Jemaah Menteri.

Istiadat berlangsung di Dataran Kawad Istana Negara dengan iringan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diikuti tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.

Presiden Xi kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang diketuai Mejar Mohamad Waqiyudin Abd Rahman, melibatkan empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Perdana Sungai Besi.

Seterusnya, Xi disambut dengan persembahan tarian selamat datang oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara sebagai simbolik penghormatan khas.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mengadakan pertemuan bersama Presiden Xi dan delegasi China serta menyaksikan pertukaran cendera kenangan di Dewan Seri Maharaja. Majlis Jamuan Negara kemudiannya diadakan di Dewan Santapan Utama, Istana Negara.

Lawatan rasmi ini merupakan kunjungan kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pertamanya pada 2013 yang menyaksikan peningkatan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Menurut Wisma Putra, Xi turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Anwar petang ini bagi membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama. Sebuah majlis makan malam rasmi turut akan diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, sebagai tanda penghormatan.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri Lawatan Negara pertama Xi pada tahun ini, yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.

Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974 dan tahun lalu meraikan ulang tahun ke-50 hubungan itu. Sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan jumlah dagangan pada tahun 2024 bernilai RM484.12 bilion – mewakili 16.8 peratus daripada keseluruhan dagangan global negara. - Media Telus

+ - reset