TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Giliran Chow Kit, Bukit Bintang digempur DBKL dan Imigresen, 41 penjaja warga asing ditahan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 16 April - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam melaksanakan operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti penjajaan haram melibatkan warga asing di sekitar ibu negara.

Operasi yang dijalankan di beberapa lokasi tumpuan seperti Lorong Haji Taib 4, Chow Kit dan Jalan Berangan, Bukit Bintang itu dilakukan hasil pemantauan serta risikan pegawai penguat kuasa DBKL.

“Sebanyak 15 kes sitaan dilaksanakan serta-merta mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016, melibatkan 13 penjaja warga asing dan dua penjaja tempatan,” menurut kenyataan DBKL di Facebook hari ini.

Selain itu, dua notis tawaran kompaun turut dikeluarkan ke atas premis perniagaan yang menggajikan warga asing tanpa kebenaran di bawah UUK Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

Dalam operasi sama, Jabatan Imigresen menahan seramai 41 warga asing, terdiri daripada 30 lelaki dan 11 wanita, yang kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

“Semua barang sitaan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tujuan dokumentasi dan rekod,” tambah kenyataan itu.

DBKL turut memaklumkan, operasi dan pemantauan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi panas sekitar ibu kota.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkannya menerusi pautan https://adukl.dbkl.gov.my/.

+ - reset