TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Kerani rugi RM1.06 juta ditipu scam pelaburan tak wujud

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 15 April - Seorang kerani wanita berusia 56 tahun kerugian RM1.06 juta selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud melalui Facebook.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan semalam, mangsa melihat satu iklan pelaburan saham di media sosial berkenaan pada 17 Disember tahun lalu.

Katanya, mangsa berminat dan menekan pautan iklan sebelum menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek.

"Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa memuat turun satu aplikasi pelaburan dikenali sebagai Quantum yang kononnya membolehkan pelaburan dalam saham tempatan dan Amerika Syarikat.

"Mangsa kemudiannya dihubungi oleh nombor WhatsApp lain yang mendakwa sebagai khidmat pelanggan dan diarahkan untuk membuat pindahan wang kepada beberapa akaun bank bagi tujuan pelaburan.

"Antara 12 Februari hingga 26 Mac lalu, mangsa melakukan sebanyak 18 transaksi kepada tujuh akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM1,068,600.

"Mangsa hanya menerima pulangan RM20,000 sebelum menyedari telah ditipu. Sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan peribadi, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pinjaman bank untuk membuat pelaburan itu.

"Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kes iu, Yahaya menasihati orang ramai membuat semakan sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. 

Katanya, jangan mudah terpengaruh dengan Skim Pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan. 

"Orang ramai juga dinasihatkan sekiranya ada menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.mp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

+ - reset