TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Rafizi, Amirudin kekal Ketua Cabang PKR di kawasan masing-masing

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 April - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari masing-masing berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Cabang di kawasan yang mereka wakili dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.

Rafizi, yang juga Menteri Ekonomi, mempertahankan kerusi Ketua Cabang Pandan untuk penggal ketiga selepas mengalahkan pencabarnya, Shahrom Musa, dengan majoriti besar. Berdasarkan keputusan rasmi yang dipaparkan di laman sesawang Pemilihan PKR 2025, Rafizi memperoleh 883 undi, manakala Shahrom sekadar meraih 444 undi.

Kemenangan itu mengekalkan Rafizi sebagai Ketua Cabang Pandan sejak penggal pertama beliau pada tahun 2018.

Sementara itu, tuah turut menyebelahi Amirudin apabila beliau menang tanpa bertanding dan kekal menerajui Cabang Gombak untuk penggal kedua berturut-turut.

Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, mula memegang jawatan tersebut sejak sesi pemilihan 2022.

Setakat hari ini, keputusan rasmi pemilihan cabang melibatkan tiga negeri telah diumumkan, iaitu Selangor, Perlis dan Melaka, manakala Kedah telah menyelesaikan proses pengundian semalam.

Tiga negeri lain, iaitu Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak, pula sedang menjalani proses pengundian hari ini sebagai sebahagian daripada fasa seterusnya dalam pemilihan parti. - Media Telus

+ - reset