TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Ekonomi

Harga emas lonjak ke paras tertinggi RM455.62 segram susulan ketegangan perdagangan AS-China

By
|
Kongsi
image

BENGALURU, 11 April – Harga emas melonjak hampir tiga peratus pada Khamis, mencapai paras tertinggi sepanjang masa susulan kejatuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan perang perdagangan antara AS dan China yang semakin memuncak, mendorong pelabur beralih kepada aset selamat.

Pada jam 1.54 tengah hari waktu Timur AS (1754 GMT), harga emas spot meningkat 2.6 peratus kepada AS$3,160.82 seauns (RM454.09 segram), selepas mencecah paras tertinggi baharu AS$3,171.49 seauns (RM455.62 segram) dalam dagangan awal.

Sementara itu, niaga hadapan emas AS ditutup 3.2 peratus lebih tinggi pada AS$3,177.50 seauns.

Kenaikan mendadak ini didorong oleh tindakan Presiden AS, Donald Trump yang mengumumkan peningkatan tarif import ke atas barangan dari China kepada 125 peratus, berbanding 104 peratus sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau turut mengumumkan penangguhan tarif terhadap puluhan negara lain buat sementara waktu.

"Emas kembali menjadi pilihan pelabur sebagai aset selamat, dan kini berada di landasan untuk mencatatkan paras tertinggi baharu," kata Penganalisis Kanan Pasaran Tradu.com, Nikos Tzabouras.

Namun begitu, beliau turut mengingatkan bahawa sebarang kemungkinan perjanjian perdagangan antara AS dan negara-negara lain boleh menekan harga emas.

Tambahnya, jangkaan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) yang semakin tidak menentu juga berpotensi mengukuhkan dolar, sekali gus menjejaskan permintaan terhadap logam berharga itu.

Pada masa sama, indeks dolar AS susut lebih satu peratus berbanding mata wang utama lain, menjadikan emas lebih menarik dan murah kepada pelabur luar AS.

Data terbaharu turut menunjukkan harga pengguna di AS secara tidak dijangka menurun pada bulan Mac, meskipun tekanan inflasi dijangka kekal tinggi berikutan peningkatan tarif terhadap barangan China.

Susulan data tersebut, para peniaga kini menjangkakan Fed akan mula menurunkan kadar faedah seawal Jun, dengan pengurangan keseluruhan sebanyak satu mata peratusan menjelang akhir tahun.

“Kami melihat bank-bank pusat terus aktif membeli emas. Selagi aliran masuk ke dalam dana dagangan bursa (ETF) kekal kukuh dan ketidaktentuan dasar monetari berlanjutan, harga emas akan terus mendapat sokongan,” kata Ketua Pegawai Operasi Allegiance Gold, Alex Ebkarian.

Sementara itu, logam berharga lain menyaksikan penyusutan, dengan perak spot turun 0.5 peratus kepada AS$30.88 seauns, platinum susut 0.5 peratus kepada AS$932.41 dan paladium merosot 1.4 peratus kepada AS$918.45. – Reuters

+ - reset