TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Majikan boleh gajikan lepasan siswazah guna sebahagian wang levi elak masalah pengangguran - Steven

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 10 April – Dalam usaha menangani isu pengangguran dalam kalangan lepasan siswazah, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) memperkenalkan satu inisiatif dengan penggunaan sebahagian daripada kutipan levi bagi membayar gaji pekerja baharu.

Inisiatif ini menyasarkan golongan graduan yang masih belum memperoleh pekerjaan, sekaligus memberi peluang kepada mereka mendapatkan pengalaman kerja sebenar.

Langkah ini diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, yang menegaskan bahawa inisiatif berkenaan sebahagian daripada pendekatan holistik kerajaan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan.

"Ramai majikan hari ini mahukan pekerja berpengalaman, sedangkan graduan baharu sukar mendapatkan pekerjaan kerana tiada pengalaman.

"Dengan skim ini, kita selesaikan kedua-dua masalah sekaligus,” katanya dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri HRD Corp, di sini, hari ini. 

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid; Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood dan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun.

Bagi rekod, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran dalam kalangan lepasan siswazah pada suku keempat tahun 2024 adalah sebanyak 3.8 peratus melibatkan lebih 180,000 individu.

Bagaimanapun, kadar itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya, jumlah tersebut masih signifikan dan memerlukan intervensi bersasar oleh kerajaan.

Melalui inisiatif ini, majikan akan menggunakan sebahagian levi bagi membayar sebahagian atau sepenuhnya gaji lepasan siswazah yang diambil bekerja oleh syarikat-syarikat terbabit.

Tempoh pembiayaan gaji akan ditentukan berdasarkan industri dan jenis pekerjaan, lazimnya antara 6 hingga 12 bulan, bergantung kepada perjanjian dengan majikan.

Pada tahun 2024, HRD Corp mencatat kejayaan luar biasa dalam kutipan levi dengan jumlah melebihi RM2.1 bilion, peningkatan 12 peratus berbanding tahun 2023.

Steven berkata, dana yang dikumpul perlu digunakan secara strategik untuk memberi kesan langsung kepada pembangunan tenaga kerja negara. 

"Dengan menyalurkan sebahagian levi untuk membantu lepasan siswazah memulakan kerjaya mereka, kita bukan sahaja melabur untuk masa depan mereka, tetapi juga memastikan majikan mendapat pekerja yang terlatih dan bersedia,” jelasnya.

Langkah ini juga selari dengan matlamat Dasar Latihan Kebangsaan dan aspirasi Malaysia MADANI untuk mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berdaya saing di peringkat global.

Selain memberikan manfaat kepada individu, inisiatif ini turut menyokong produktiviti negara dalam jangka panjang melalui pembangunan modal insan yang lebih mantap. - Media Telus

+ - reset