Berita Berita
Remaja dipenjara sebulan buang bayi dalam lubang tandas

SABAK BERNAM, 10 April – Seorang remaja dijatuhi hukuman penjara sebulan selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi dalam tandas sebuah stesen minyak bulan lalu.
Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman itu kepada Nur Alieya Danisha Muhd. Alif Subramaniam, 18, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan bermula hari ini serta denda sebanyak RM5,000.
Jika gagal membayar denda tersebut, dia berdepan lima bulan tambahan penjara. Bagaimanapun, tertuduh telah membayar denda berkenaan.
Dalam penghakimannya, Majistret Siti Hajar menjelaskan bahawa hukuman itu mengambil kira faktor usia tertuduh yang masih muda, selain menunjukkan penyesalan dan kesedaran atas kesalahan yang dilakukan.
“Mahkamah mengambil kira ini adalah kesalahan pertama tertuduh yang telah insaf. Namun, kepentingan awam tidak boleh diabaikan walaupun tertuduh masih muda.
“Hukuman ini bukan sahaja sebagai pengajaran kepada tertuduh, malah sebagai pencegahan kepada masyarakat, khususnya golongan remaja, tentang akibat perbuatan seperti ini,” katanya.
Nur Alieya didakwa menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan membuang mayat bayi yang telah mati ke dalam mangkuk tandas wanita di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani pada jam 11 pagi, 23 Mac lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun
Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh tidak menyedari dirinya hamil dan menyangka sakit perut yang dialami adalah senggugut.
Ketika menggunakan tandas di stesen minyak tersebut, bayi itu dilahirkan secara tiba-tiba dan terus jatuh ke dalam mangkuk tandas.
Dalam keadaan panik, tertuduh membersihkan diri dan meninggalkan tempat kejadian tanpa memberitahu sesiapa.
Tertuduh turut memaklumkan bahawa dia mengandung akibat dirogol oleh seorang lelaki yang baru dikenalinya, namun tidak membuat laporan kerana takut dan trauma.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhd. Muqri Mohd. Khairi merayu agar hukuman diringankan dengan mengambil kira latar belakang tertuduh yang dibesarkan oleh ibu tunggal serta tekanan emosi yang dialami ketika kejadian.
“Anak guam saya berada dalam keadaan keliru dan tidak mampu berfikir secara waras ketika insiden berlaku. Diharapkan hukuman ini dapat membantunya menjadi insan lebih baik di masa depan,” katanya.
Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin, menegaskan bahawa kes ini memerlukan hukuman berbentuk pengajaran memandangkan ia melibatkan nyawa seorang bayi yang tidak berdosa.
Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang bayi di dalam tandas wanita di stesen minyak Sungai Haji Dorani, yang mengejutkan orang awam apabila bayi itu dijumpai dalam keadaan terlangkup dalam lubang tandas.
Berita berkaitan
April 18, 2025, 3:12 pm
'Kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang bukan perkara ringan' - Anwar
April 18, 2025, 1:12 pm
Akmal Saleh tegas bantah dakwaan pemilihan PKR terpengaruh budaya UMNO
April 18, 2025, 1:09 pm
Remaja 15 tahun maut terkena renjatan elektrik ketika memanah ikan di sungai
April 18, 2025, 1:00 pm
Polis terima 28 laporan sokong tindakan penguatkuasaan kebun durian haram di Raub
April 18, 2025, 12:54 pm
Pencerobohan tanah haram musuh utama negeri - Sultan Pahang
April 18, 2025, 12:41 pm
Jurutera 'miang' didakwa rakam video bogel bekas kakak ipar guna kamera pen tersembunyi
April 18, 2025, 12:36 pm
Polis buru pemilik akaun sosial hina agama, ajak bom masjid
April 18, 2025, 12:28 pm
Lelaki OKU lembam ditemukan lemas dalam kolam di Machang
April 18, 2025, 12:22 pm
Pelajar KV Port Dickson maut, lima cedera dalam kemalangan motosikal
April 18, 2025, 12:11 pm